Projek Tanaman Hidroponik Penggerak Khidmat Masyarakat Sinar Ramadhan PKA 2024

31 Mac 2024, Sungai Bakap – Sempena bulan Ramadhan 2024, Pengajian Kejuruteraan Awam, Kolej Pengajian Kejuruteraan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang bersama Muslim Care Malaysia telah berganding bahu menganjurkan Program Khidmat Masyarakat Sinar Ramadhan 2024 bertempat di Madrasah Irshad Al-Ashraf Al-Wataniah, Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang. Madrasah ini telah diwujudkan lebih daripada 70 tahun yang menjadi tempat pengajian bagi masyarakat dewasa dan remaja dalam mempelajari kitab-kitab lama. Program ini dianjurkan dengan dua pengisian utama iaitu Program Perpindahan Pengetahuan melalui Projek Tanaman Hidroponik oleh pihak UiTM dan sumbangan barangan keperluan harian oleh Muslim Care Malaysia. Tujuan utama program ini adalah untuk meningkatkan kemenjadian warga UiTM terhadap masyarakat sekiling yang memerlukan kepakaran daripada pihak Institusi Pengajian Tinggi seperti UiTM bagi meningkatkan kualiti kehidupan dan sosiekonomi di samping membantu insan-insan yang memerlukan. Program ini selaras dengan menjadikan UiTM sebagai sebuah universiti tekemuka dunia 2025 di bawah ICAN.

Program ini melibatkan 24 orang warga Pengajian Kejuruteraan Awam yang terdiri daripada pensyarah dan penolong jurutera, 5 orang sukarelawan Muslim Care Malaysia dan 136 orang warga madrasah yang terdiri daripada mereka yang berumur di antara 29 hingga 113 tahun. Dalam sesi perpindahan pengetahuan, warga madarasah telah diajar mengenai kaedah penanaman hidroponik bagi membolehkan mereka mengaplikasikan kaedah ini untuk penggunaan seharian mereka selain daripada memberikan inisiatif projek pemula kepada pihak madarasah sehingga ianya mampu memberikan idea dalam meningkatkan sosioekonomi pihak madarasah. Sebanyak 10 set hidroponik telah diberikan kepada pihak madrasah hasil daripada sumbangan warga PKA, UiTM Cawangan Pulau Pinang. Kaedah penanaman hidroponik telah disampaikan oleh Encik Mohd Zaini Endut dan dibantu oleh warga PKA sebagai fasilitator. Pelbagai jenis tanaman telah ditanam sebagai projek pemula ini seperti kangkung, sawi dan siew pak choy. Sesi ini berlangsung selama 2 jam dan melibatkan semua warga madrasah dan pihak pengurusan madrasah.

Sesi sumbangan barang keperluan harian dilaksanakan bersekali dengan majlis penutupan program setelah selesai Program Tanaman Hidroponik sekitar jam 12:00 tengah hari. Sesi penutupan ini telah disempurnakan oleh Dr. Juhaizad Ahmad, Ketua Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam dan Ustaz Muaz Hassan dari Muslim Care Malaysia. Sebanyak 170 bungkusan yang berjumlah RM 3000 secara keseluruhan telah disumbangkan oleh Muslim Care Malaysia kepada warga Madrasah sebagai tanda prihatin dalam meringankan beban warga madrasah yang merupakan golongan fisabilillah. Menurut Ustaz Muaz Hassan dalam ucapan beliau ’Muslim Care Malaysia merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang telah lam bergerak aktif dalam mambantu golongan yang memerlukan dalam apa saja bentuk termasuk pernah melakukan misi kemanusiaan ke kawasan konflik di timur tengah sebagai rasa tanggungjawab sesama muslim’. Program ini akan menjadi landasan dalam meningkatkan kebersamaan antara Institusi Pengajian Tinggi, Badan Bukan Kerajaan dan masyarakat setempat.

Sinergi seumpama ini akan memberikan impak dalam pelbagai aspek seperti meningkatkan kesihatan mental warga madarasah, meningkatkan pengetahuan masyarakat dan memberikan peluang kepada masyarakat dalam meemperluaskan potensi diri walaupun ada dalam kalangan mereka yang telah lanjut usia. Pihak madrasah juga berharap program seumpama ini akan diteruskan buat jangka masa yang panjang supaya ianya mampu membantu pihak madrasah dalam membuka ruang dan peluang dalam aspek selain pendidikan.

Penulis bersama: Satira Hambali, Raja Noor Husna Raja Mohd Noor, Juzailah Nur Yunus, Zul Azmi Mohtar, Mohd Zaini Endut, Kamsiah Abdul Wahab, Mohd Faizal Zakaria, Mohamad Azrul Aswad Mohamad Nor, Suzana Ahmad, Nurul  Nor Fazlina Fazil