LINGGI, 18 Mei 2024 – Program Seeds Of Hope: Restoring Our Coastal Heritage anjuran pelajar semester 5, program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (BEVA) bersama pihak Malaysian Nature Society (MNS) Cawangan Negeri Sembilan dan Melaka telah diadakan di Pangkalan Nelayan Kampung Sungai Timun, Linggi, Negeri Sembilan bermula dari pukul 8.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari. Program yang melibatkan 23 orang pelajar di bawah bimbingan Dr. Muhammad Fuad Abdul Karim adalah bagi memenuhi keperluan kod kursus Environmental Sociology (EVA620).
Sejumlah 123 anak pokok bakau berspesies Sonnerratia Spp. telah pun ditanam oleh para peserta menggunakan tiga kaedah penanaman yang berbeza. 48 anak pokok ditanam di dalam polibeg, 25 anak pokok ditanam di dalam tanah manakala 50 anak pokok lagi ditanam di dalam medium sabut kelapa. Penggunaan pelbagai kaedah penanaman ini akan dapat meningkatkan kadar kemandirian pokok bakau serta dapat menyokong pertumbuhan sesuatu spesies pokok bakau. Selain itu, penggunaan kaedah yang berbeza juga dapat mewujudkan pokok bakau yang lebih berdaya tahan yang mampu menahan kesan perubahan iklim.
Melalui program ini juga, pelbagai informasi-informasi baharu dapat diperoleh melalui sesi perkongsian bersama Mr. Vuthy Taing, Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia Cawangan Negeri Sembilan dan Melaka. Semasa sesi perkongsian berlangsung, Mr. Vuthy mendedahkan kepada para pelajar mengenai ekosistem sungai, ekosistem kelip-kelip termasuklah ancaman yang boleh menggangu ekosistem terbabit.
Secara keseluruhannya, program ini telah memenuhi keperluan empat SDG yang utama iaitu SDG13 (Climate Action), SDG14 (Life Below Water), SDG15 (Life on Land) dan SDG17 (Partnership for the Goals). Namun begitu, yang paling penting adalah program ini telah berjaya membantu dalam memberikan kesedaran kepada pelajar-pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) tentang kepentingan memulihara kawasan pokok bakau. Aktiviti pemuliharaan kawasan pokok bakau adalah sangat penting kerana ianya dapat membantu alam sekitar khususnya dapat membantu ekosistem pesisir pantai.