Projek Penamaan Nanas Md2 – Usaha Praktikal Dan Pendedahan Kepada Alumni UiTM Sarawak

Nanas MD2 merupakan jenis nanas yang sedang mendapat perhatian di kalangan pengusaha penanaman nanas khususnya di Kota Samarahan dan beberapa lokasi lain di Sarawak. Walaupun dari segi penjagaan yang tidak banyak beza dengan nanas jenis lainnya, nanas MD2 mempunyai pasaran yang agak luas walaupun harga nya agak sedikit mahal.

Namun, rasa lazat dan manis isi nanas MD2 ini sukar mendapat tandingan buat masa ini. Justeru itu, alumni UiTM Sarawak di bawah Projek Tunas Mekar yang biayai oleh MIED Sarawak telah mengambil langkah untuk menggalakkan alumni UiTM Sarawak berjinak-jinak dengan penanaman Nanas MD2 ini. Dengan keluasan yang tanah yang agak terhad sebagai percubaan dengan menanam sebanyak 2000 batang benih pokok nanas MD2 setakat ini cukup memberikan pendedahan dan pemahaman awal penanaman dan penjagaan nanas ini.

Saudara Hanafrey Ayub, adalah graduan Master of Applied Entrepreneurship (MAE) menjadikan projek nanas MD2 ini sebagai subjek kajian untuk kertas kursus sarjana serta practical dari segi pengurusan dan penjagaan nanas MD2 ini. ‘Walaupun terdapat banyak kekangan khususnya semasa MCO tahun lepas, terutamanya sekatan untuk masuk ke dalam kampus tidak dibenarkan menyebabkan pemantauan secara berterusan tidak dapat dilakukan dengan sebaiknya’, kata beliau bila ditemuramah tentang keberkesanan projek ini. Memandangkan UiTM mempunyai keluasan tanah yang agak besar, adalah lebih baik sekiranya konsep ‘contract farming’ di antara alumni dan usahawan tani ataupun mana-mana agensi kerajaan di luar boleh dijalankan di dalam kampus yang boleh memberikan manfaat kepada pelajar dan pensyarah’, ujarnya lagi.

Dr Iskandar Openg, Koordinator BDU UiTM Sarawak yang bekerjasama dengan Felo Tunas Mekar juga telah turut menyumbangkan kepakaran dalam menggendalikan projek beserta dengan penanaman Nanas MD2 dengan agensi lainnya. Menurut beliau, kekangan ODL cuba di atasi dengan meletakkan pelajar latihan praktik untuk membantu menguruskan ladang nanas MD2 di dalam kawasan ladang UiTM Kampus 1 dalam satu masa yang dibenarkan oleh pihak universiti.

Prof Madya Dr Jati Kasuma, selaku Felo Tunas Mekar yang menggendalikan program keusahawanan untuk alumni dan masyarakat ini sedang meninjau peluang ‘contract farming; di masa hadapan. Namun, beliau tetap berterima kasih kepada kerajaan negeri Sarawak di atas geran yang diberi melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MINTRED) walaupun perlaksanaan penanaman Nanas MD2 ini tidak begitu berjaya sepenuhnya kerana semua pelajar masih menjalankan ODL sejak tahun lepas. Projek pertanian pintar yang masih dalam perlaksanaan di bawah geran MINTRED ialah Tembikai dan Halia Bentong.