SHAH ALAM, 22 JUN 2024, Projek NADI: Dari Kampus ke Komuniti ini merupakan satu inisatif komuniti yang telah dianjurkan oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Pembinaan (CFAP246) dengan kerjasama pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (Kepujian) (CEEC220) dan pelajar mod separuh masa dari Institut Pendidikan Berterusan & Pengajian Professional (iCEPS) yang mengikuti ‘kursus ‘Pengurusan Operasi dalam Pembinaan’ (CMA493).
Projek komuniti ini merupakan sebahagian dari penilaian bagi kursus CMA493 yang bertujuan untuk memupuk sikap tanggungjawab sosial terhadap komuniti yang melangkaui silibus pembelajaran di dalam bilik kuliah.Projek komuniti yand dinamakan Projek NADI ini dilaksanakan untuk membersihkan rumah flat di kawasan setempat. Program ini dijalankan di Blok 8-12 flat PKNS Shah Alam melibatkan 233 orang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM). Lima orang pensyarah dari Kolej Alam Bina (Puan Siti Suhaidah Sahab, Dr. Iffah Farhana Abu Talib, Ts. Norishahaini Mohamad Ishak, Ts. Dr. Shaza Rina Sahamir dan Ts. Dr. Mohamed Rizal Mohamed) membantu dan menyokong 14 komiti utama yang terdiri dikalangan pelajar bagi memastikan kelancaran program.
Tujuan utama Projek NADI adalah memperbaiki keadaan kebersihan rumah flat dan sekitarnya, menjadikannya lebih selesa dan selamat untuk didiami. Projek ini juga bertujuan memupuk sikap tanggungjawab dalam kalangan penduduk terhadap kebersihan kawasan tempat tinggal mereka, sekaligus menghidupkan kembali keceriaan di kawasan flat tersebut.
Objektif Projek NADI adalah untuk meningkatkan kebersihan dengan melaksanakan aktiviti pembersihan menyeluruh di kawasan rumah flat, termasuk ruang awam seperti tangga, koridor, dan kawasan sekitar; meningkatkan kesedaran kesihatan dengan mendidik penduduk tentang pentingnya kebersihan untuk kesihatan mereka dan keluarga; menggalakkan penyertaan komuniti dengan mendorong penduduk untuk turut serta dalam aktiviti pembersihan untuk membina rasa tanggungjawab bersama; serta mewujudkan persekitaran yang lebih bersih dan sihat untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk.
Projek NADI yang berlangsung pada 22 Jun 2024, telah bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir sekitar 1.00 petang. Sebanyak 3 buah bas dari unit kenderaan UiTM Shah Alam telah digunakan sebagai pengangkutan utama pelajar dan peralatan -peralatan keperluan. Beberapa aktiviti telah dilaksanakan sepanjang program berlangsung termasuk membersihkan longkang, menyapu sampah, membuang sampah, mengalihkan barangan besar sperti perabot dan peralatan elektrik ke tempat pembuangan sampah. Projek NADI juga mendapat sokongan dan bantuan dari Badan Pengurusan Bersama (JMB) Seksyen 7, wakil penduduk dan pihak sekolah Sekolah Rendah Agama Intergrasi Seksyen 7.
Hasilan tinjauan mendapati 80% penduduk berpuas hati dengan aktiviti pembersihan projek NADI dan merasakan projek ini telah memperbaiki keadaan hidup dan keindahan kawasan sekitar. Dengan penglibatan aktif pelajar dan sokongan pensyarah, Projek NADI dilihat telah berjaya mencapai objektifnya dalam meningkatkan kebersihan, kesedaran kesihatan, dan penyertaan komuniti, sekaligus mewujudkan persekitaran yang lebih bersih dan sihat untuk penduduk.