Projek Kesukarelawanan ASEAN: Kolej Meranti dan Seroja Teraju Transformasi Dengan Sokongan Padu Sektor Korporat

SHAH ALAM, 5 SEPTEMBER 2024 – Kolej Kediaman Meranti dan Seroja, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah melakar satu lagi sejarah dengan penganjuran Majlis Pelepasan Sumbangan sebagai penghargaan kepada para penaja yang komited dalam menjayakan projek kesukarelawanan berskala besar, ASEAN Volunteerism Project: A Nurture Nation dengan kerjasama Surau Al-Ansor Seksyen 2, Shah Alam. Majlis yang dilaksanakan di Dewan Sri Meranti, Kolej Kediaman Meranti itu telah menjadi saksi kepada sebuah inisiatif kemanusiaan yang bakal berlangsung di Perlis, Malaysia dan Songkhla, Thailand, dari 14 hingga 18 September 2024, dengan misi menyelami kehidupan anak-anak yatim di kedua-dua negara.

 

Berbekalkan semangat kesatuan yang tinggi, selain sokongan penuh universiti melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dan komuniti setempat melalui jawatankuasa Surau al-Ansor, projek ini juga berjaya meraih sokongan padu dari pelbagai syarikat dan organisasi iaitu Adabi, Kidz Studios Printing, Al-Ikhsan, Dr. Azri’s Perfume, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM dan Yayasan Perkasa Siswa (YPS) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia. Mereka menyumbang dalam bentuk kewangan, bahan makanan, pakaian dan buku, dengan jumlah keseluruhan melebihi RM15 000. Sumbangan ini telah membuka jalan yang lebih luas dan membantu kepada kelancaran pelaksanaan program. Sokongan mereka bukan sekadar bantuan secara fizikal, tetapi juga mencerminkan komitmen untuk memberi impak positif kepada komuniti, memacu perubahan dan menyemai nilai-nilai kemanusiaan dalam kalangan semua yang terlibat.

“Kami percaya melalui projek ini, kita bukan sahaja membina pengalaman bermakna buat para pelajar, tetapi juga menyemarakkan hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat luar. Inisiatif ini hanyalah permulaan kepada lebih banyak peluang untuk mengembangkan rangkaian kesukarelawanan dan memberikan manfaat yang lebih luas kepada komuniti pada masa hadapan,” ujar Dr. Firdaus bin Mohamad, Pengetua Kolej Meranti dan Seroja, UiTM Shah Alam.

 

Prof. Madya Dr. Haji Mohammad Noor Jalil, Pengarah Pembangunan Pelajar, UiTM Shah Alam, turut memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif ini dengan menekankan bahawa aktiviti kesukarelawanan mampu melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki nilai empati dan kasih sayang sesama manusia. Beliau juga berkongsi pengalamannya ketika membantu anak-anak yatim di Johor yang memperlihatkan kekuatan sebenar kasih sayang dalam mengubah kehidupan seseorang.

 

Projek kesukarelawanan ini akan dijalankan selama lima hari, iaitu satu hari di Perlis dan empat hari di Songkhla, Thailand. Para peserta dijangka memulakan perjalanan penuh harapan dari Shah Alam dengan menaiki dua buah bas, bersedia melaksanakan misi kemanusiaan ini dengan sepenuh jiwa dan semangat untuk membawa perubahan positif.

 

Disediakan oleh: Nurin Dania Mohamad Zamizan, Mohamad Zulzikri Sunar, Zharfan Zulqarnain Saiponnizam & Luqman Hakim Sarip