SEREMBAN, 8 November 2024 – Kumpulan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (AM226) Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban terus membuktikan keunggulannya dalam bidang inovasi apabila aplikasi interaktif, i-TREC mereka telah berjaya meraih pingat perak di pertandingan Invention, Innovation & Design Exposition (IIDEX) anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM). Inovasi ini direka khusus untuk memudahkan para pelajar BEVA yang berada di semester lima mencari peluang latihan industri yang relevan dengan bidang pengajian mereka terutamanya dalam industri hijau.
i-TREC merupakan singkatan kepada “Integrated, Trusted, Reliable, Exclusive dan Cost Effective” yang menggambarkan bahawa aplikasi interaktif yang direka ini bakal menjadi pemudahcara kepada para pelajar AM226 dalam mendapatkan tempat untuk menjalani latihan industri mereka. Berdasarkan hasil tinjauan yang dijalankan ke atas alumni dan pelajar AM226 yang telah melalui latihan industri, dapatan menunjukkan bahawa hampir 30% daripada mereka telah menghadapi kesukaran mencari organisasi latihan yang sesuai dalam bidang pengajian alam sekitar. Manakala, sebanyak 43% responden bersetuju perlunya aplikasi khusus untuk menjadi pemudahcara kepada pencarian penempatan latihan industri bagi mereka. Aplikasi tersebut perlu menawarkan fungsi seperti menyenaraikan senarai organisasi hijau yang berpotensi menawarkan latihan praktikal mengikut negeri serta skop latihan yang akan diberikan.
Pasukan yang terdiri daripada tujuh orang pelajar AM226 dibawah bimbingan En. Mohd Idham Bin Mohd Yusof telah memperlihatkan keunikan pelaksanaannya melalui sistem yang lebih sistematik, SDG-Business Model Canvas, paten logo aplikasi, serta menekankan konsep aplikasi secara lestari. Menurut ketua kumpulan ini, Saudari Saidatul Maisa’ Mohamed Hamdan, i-TREC telah menjadi satu pendekatan utama Persatuan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar dalam memperkasakan mahasiwa dan mahasiswi AM226 kearah mendapatkan peluang latihan industri yang relevan dengan industri hijau.
Kejayaan kumpulan pelajar ini meraih pingat perak di IIDEX 2024 mencerminkan kebolehan pelajar prasiswazah khususnya daripada FSPPP untuk meneroka kebolehan kreativiti dan mengembangkan idea inovatif mereka dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan. Sebagai sebuah inovasi digital, i-TREC bukan sahaja mempermudah perjalanan latihan industri pelajar BEVA tetapi juga boleh menyumbang kepada kelestarian pendidikan dan kerjaya hijau. Aplikasi ini bakal diterbitkan dalam beberapa penerbitan akademik untuk meningkatkan lagi kesedaran tentang potensi i-TREC.
Secara keseluruhannya, program ini turut menepati pencapaian PI037 (bilangan pelajar yang terlibat dalam aktiviti reka cipta dan inovasi) dan memenuhi keperluan SDG 9 (Industry, Innovation & Infrastructure). Dengan potensi untuk menjadi aplikasi rujukan utama, i-TREC diharapkan dapat terus berkembang dan memberikan manfaat kepada lebih ramai pelajar dimasa akan datang.
Penulis: Saidatul Maisa’ Mohamed Hamdan, Mohd Idham Mohd Yusof