Projek Gerobok BEVA Menang Pingat Emas di Pertandingan Malaysia Startup Challenge 2024

SEREMBAN, 5 Mei 2024 – Kumpulan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (AM226) telah melakar satu kejayaan besar dengan memenangi pingat emas di dalam pertandingan Malaysia Startup Challenge 2024 yang telah diadakan secara atas talian. Kejayaan ini merupakan satu pencapaian besar dan merupakan kali pertama dicapai oleh persatuan BEVA melalui projek keusahawanan sosial mereka iaitu Gerobok BEVA.

Gerobok BEVA merupakan projek keusahawanan yang diwujudkan dibawah Persatuan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar untuk menggalakkan cara hidup secara lestari dikalangan warga UiTM dan FSPPP. Ianya bermula dengan projek rintis BEVA Preloved Sale and Recycle Campaign yang telah dijalankan pada bulan Disember 2023 melalui konsep sumbangan serta jualan semula barangan terpakai. Idea tersebut telah ditambahbaik didalam projek Gerobok BEVA dengan menerapkan elemen inovasi dalam keusahawanan sosial disamping mengekalkan teras utama Sustainable Development Goals (SDG) iaitu SDG 8 (Decent work and economic growth) dan SDG 12 (Responsible Consumption & Production).

Pasukan Gerobok BEVA yang terdiri daripada 7 orang pelajar AM226 dibawah bimbingan En. Mohd Idham Bin Mohd Yusof telah memperlihatkan keunikan pelaksanaannya melalui sistem inventori barangannya yang lebih sistematik, SDG-Business Model Canvas, paten logo bisnes, serta menekankan konsep jual-beli secara lestari. Menurut ketua kumpulan ini, Saudari Dinah Zahirah Zulkifli, projek Gerobok BEVA telah menjadi satu komitmen utama Persatuan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar dalam memperkasakan mahasiwa dan mahasiswi AM226 kearah pelaksanaan projek keusahawanan sosial yang mampu melestarikan alam. Kemenangan mereka dalam mendapatkan pingat emas akan menjadikan persatuan BEVA kekal menjadi persatuan pelajar yang menjadikan SDG sebagai tema utama pelaksanaan aktivitinya.

Secara keseluruhannya, program ini turut menepati pencapaian PI038 (Jumlah program berkaitan nilai-nilai ESI-iDART), serta PI MASMED berkaitan penglibatan pelajar didalam inovasi keusahawanan. Namun yang paling penting, program ini telah berjaya melahirkan warga UiTM yang mampu menghubungjalinkan konsep keusahawanan sosial dan inovasi sebagai satu pendekatan baharu kearah pembangunan mampan.