352 Mahasiswa Sertai Webinar Youth4SDG, Tingkat Kesedaran SDG

SEREMBAN, 12 & 13 November 2024 – Seramai 352 orang mahasiswa dan mahasiswi daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM) telah menyertai program Youth4SDG Webinar yang dianjurkan oleh Persatuan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (BEVA), Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban. Program webinar yang julung kalinya diadakan ini turut melibatkan barisan penceramah dalam kalangan pensyarah dari FSPPP dan Fakulti Perhutanan dan Alam sekitar (FHAS) yang telah memberikan perkongsian ilmu berkaitan SDG melalui kepakaran masing-masing.

Matlamat utama program webinar ini adalah untuk memberikan pendedahan berkaitan konsep pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang diperkenalkan oleh pihak Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 2015 kepada mahasiswa dan mahasiswi universiti. Hal ini adalah kerana 17 SDG yang digariskan oleh pihak PBB akan berakhir pada tahun 2030 serta pencapaiannya adalah bergantung kepada pelaksanaan oleh semua pihak termasuk generasi muda. Penulisan literatur telah menunjukkan bahawa tahap kesedaran warga universiti terutamanya dalam kalangan mahasiswa berkaitan SDG masih amat rendah. Justeru pihak Persatuan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (BEVA) telah mengambil inisiatif melaksanakan program Youth4SDG Webinar 2024 yang telah dibiayai sepenuhnya oleh pihak Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM). Melalui webinar ini, para peserta telah didedahkan dengan strategi serta langkah-langkah pelaksanaan program berteraskan SDG yang wajar dilaksanakan pada peringkat universiti serta dipelopori oleh pemimpin persatuan mahasiswa.

Siri webinar yang dijalankan selama dua hari itu telah menggunakan pendekatan pelaksanaan secara santai dan interaktif menggunakan pelbagai kecerdasan buatan (AI) dan juga platform komunikasi secara maya seperti Kahoot dan Mentimeter bagi menarik minat peserta. Pada siri webinar yang pertama, pengenalan asas berkaitan SDG telah diberikan oleh Dr. Radduan Bin Yusof. Perkongsian beliau menyentuh berkaitan latar-belakang SDG dan komponen penting dalam pelaksanaan SDG secara menyeluruh. Penceramah kedua iaitu En. Mohd Idham Bin Mohd Yusof selaku penerima geran SKUM pula menekankan peranan belia selaku hero pelaksana SDG. Penceramah ketiga merupakan Prof. Madya Dr. Mariani Ho Nyuk Onn dari FHAS, UPM yang memberikan penerangan berhubung peranan belia dalam tindakan menangani isu perubahan iklim. Sesi perkongsian diakhiri oleh Puan Saidatul Akma Hamik yang memberikan perkongsian berkaitan konsep pengurangan sisa makanan.

Bagi siri webinar hari kedua pula menekankan konsep pelaksanaan program berteraskan SDG pada peringkat universiti. Para peserta telah didedahkan kepada kaedah pelaksanaan SDG dalam konteks aktiviti persatuan mahasiswa, termasuk bagaimana matlamat tersebut dapat diselaraskan dengan KPI universiti, fakulti, dan persatuan. Contohnya, pelajar diperkenalkan kepada sistem dan platform dalam universiti yang dapat membantu mereka merancang program berfokuskan SDG seperti inisiatif kesukarelawanan, kajian lapangan dan projek komuniti seperti SULAM. Datin Dr. Nor Syamaliah Ngah telah memulakan siri webinar dengan menekankan konsep pengurusan projek SDG di universiti. Puan Zurina Md Nen selaku Koordinator MASMED FSPPP pula memberikan perkongsian berkaitan konsep ”Keusahawanan Hijau dan SDG”. Konsep komunikasi dan pelaporan program SDG turut ditekankan dalam webinar ini yang mana, Dr. Siti Melinda Haris memberikan tunjuk ajar berkaitan keperluan mempromosikan program SDG melalui pelbagai platform seperti melalui UiTM News Hub dan media sosial rasmi fakulti. Manakala Dr. Sharifah  Faatihah Syed Mohd Fuzi menekankan kepentingan pelaporan program berkaitan SDG di sistem PRIME UiTM.

Hasil tinjauan dari kalangan peserta webinar menunjukkan kesan yang positif, yang mana lebih daripada 50% peserta telah memahami konsep SDG dengan lebih mendalam selepas menghadiri siri webinar tersebut. Mereka juga komited untuk melaksanakan program berteraskan SDG. Seramai 52.8% peserta memilih SDG4 (Quality Education) sebagai keutamaan mereka, diikuti SDG 13 (Climate Action) dan SDG 3 (Good Health & Wellbeing).

Program ini telah berjaya memberikan kesedaran dalam kalangan mahasiswa tentang pentingnya SDG serta bagaimana mereka dapat melaksanakan dan menerapkan matlamat ini dalam kehidupan kampus dan program-program mahasiswa pada masa hadapan. Penerapan SDG adalah amat relevan dengan tujuh tujahan utama pelaksanaan program persatuan di UiTM iaitu berkaitan dengan kebajikan, kerohanian, kepimpinan, inovasi, keusahawanan, kerjaya dan antarabangsa.

Menurut salah seorang peserta, Saudara Nyak Adam Mikhaeil Bin Nyak Zurimin yang juga merupakan Presiden Persatuan Bachelor of Administrative Science Student’s Society (BacAS), “Program ini memberi inspirasi kepada kami untuk menyumbang secara langsung kepada pembangunan lestari, baik melalui projek kecil dalam kelab pelajar mahupun inisiatif yang lebih besar seperti kerjasama dengan pihak luar.”

Pelaksanaan program ini telah berjaya memberi inspirasi kepada generasi muda pada peringkat universiti untuk memainkan peranan aktif dalam membangun dunia yang lebih baik. Pelaksanaan “Youth4SDG Webinar” membuktikannya sebagai usaha dan langkah awal ke arah menjadikan mahasiswa universiti sebagai pemimpin pembangunan lestari yang mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat dan dunia.

Penulis : Muhamad Yassin Husin,  Mohd Idham Mohd Yusof