Program ‘You Are A Leader’ Melahirkan Pemimpin Berkualiti

Para Peserta Kem ‘You Are A Leader’ Bersama Tetamu Jemputan

Pada tarikh 4 hingga 6 Oktober 2019 yang lalu, Sekretariat Mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah menganjurkan program You Are A Leader di Asia Camp, Ampang Pechah, Kuala Kubu Bharu.

Program bertemakan team building ini merupakan program tahunan yang dianjurkan dengan tujuan untuk menggilap bakat kepimpinan di kalangan para mahasiswa yang bakal mengetuai organisasi persatuan masing-masing.

Peserta Sedang Menjalankan Aktiviti Water Floating

Tambahan lagi, penganjuran program ini juga bermatlamat untuk membantu Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam meningkatkan tahap kredibiliti mahasiswa UiTM pada pandangan masyarakat luar selain menghasilkan bakal graduan yang berkualiti dalam kalangan mahasiswa FSK.

Seramai 72 orang mahasiswa FSK yang terdiri daripada 5 wakil dari setiap persatuan telah terlibat sebagai peserta program ini, dan dipantau oleh dua orang penasihat program iaitu Encik Norhisham Bin Haron dan Cik Rafidah Binti Supar.

Peserta Sedang Membentangkan Hasil Kerja LDK My Governance

Dalam pengisian program You Are A Leader ini, para peserta telah diberikan beberapa tugasan dalam kumpulan seperti perancangan strategik, my governance dan debat debut. Dalam tugasan pertama, peserta dikehendaki untuk menyediakan perancangan program yang bakal dianjurkan oleh persatuan masing-masing.

Bagi tugasan my governance pula, para peserta telah diberikan satu jumlah bajet dan diminta untuk merancang penggunaan kewangan bagi pembinaan satu institusi yang lengkap dengan fasiliti berkaitan. Melalui tugasan ini, peserta dilatih untuk merangka penyediaan dan penggunaan bajet yang telah diberikan berdasarkan keutamaan juga keperluan kepada institusi tersebut.

Peserta Sedang Menyiapkan Rakit Masing-Masing Bagi Aktiviti Water Rafting

Seterusnya, program dimeriahkan lagi dengan pengisian slot debat debut di antara kumpulan. Menggunakan konsep debat parlimen, setiap kumpulan ditetapkan sebagai kerajaan atau pembangkang dan diberikan beberapa tajuk yang berkaitan dengan masalah-masalah yang dihadapi oleh para mahasiswa di peringkat fakulti dan juga universiti.

Aktiviti dalam kumpulan yang dijalankan ini secara tidak langsung dapat memberi pendedahan kepada bakal pemimpin untuk mengendalikan sesuatu isu, mengeluarkan pendapat terhadap masalah dan memilih cara penyelesaian yang terbaik.

Peserta Sedang Membentangkan Hasil Kerja Dalam Kumpulan Perancangan Strategik

Pengisian program ini diteruskan lagi dengan aktiviti-aktiviti lasak daripada pihak kem sendiri iaitu trekking and water floating dan water rafting. Aktiviti ini menekankan tentang kepentingan mahasiswa untuk meningkatkan keyakinan dan kemahiran diri dalam menghadapi segala apa halangan yang bakal ditempuh sebagai seorang pemimpin selain turut menekankan kepentingan sifat bekerjasama dalam kumpulan.

Para Peserta Sedang Mendengar Penerangan Daripada Fasilitator

Pengarah program, Sharifah Nurnajiihah Binti Syed Rosli berkata, para mahasiswa telah mendapat banyak maklumat baru dan berguna untuk dipraktikkan di dalam persatuan masing-masing dan menambahbaik susun atur organisasi mereka melalui program You Are A Leader ini. Tambahan lagi, beliau berharap semoga program yang dijalankan ini akan membantu setiap peserta untuk membina organisasi yang lebih baik dari sebelumnya.

Peserta Sedang Menjalankan Aktiviti Explorace FSK

Oleh: Sharifah Nurnajiihah Binti Syed Rosli , Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan (FSK)

1
0