Program Webinar Sembang Santai Bersama Alumni AP992 – Ada Apa Dengan GOT?

Selaras dengan usaha untuk memupuk minat yang mendalam di kalangan pelajar pascasiswazah, Program Webinar Sembang Santai Bersama Alumni telah dijalankan oleh Program Doktor Falsafah Rekabentuk dan Alam Bina (AP992), Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak.

Matlamat utama program ini adalah untuk memupuk minat, memberi motivasi dan tips yang bermanfaat kepada pelajar pascasiswazah bagi menghasilkan penyelidikan yang berkualiti. Disamping itu, program ini turut menyediakan platform kepada alumni AP992 untuk berkongsi pengalaman kepada para pelajar yang sedang mengikuti program pascasiswazah.

Program Sembang Santai ini telah diadakan secara bersiri bermula dari Siri 1 pada November 2023 dan seterusnya Siri 2 pada Disember 2023. Bagi siri ke-3, ianya telah diadakan pada 9 Februari 2024 secara atas talian menggunakan aplikasi “Cisco Webex” yang bertajuk ’Ada Apa dengan GOT?’. Siri ke-3 ini telah dikendalikan oleh Dr. Izatul Farrita Mohd Kamar, Koordinator Program AP992 sebagai moderator manakala tetamu jemputan adalah Sr Dr. Irwan Mohammad Ali daripada Program Ukur Bangunan, Universiti Teknologi MARA, Cawangan Perak.

Sr Dr. Irwan Mohammad Ali merupakan alumni AP992 yang telah berjaya mendapat anugerah Graduate on Time (GOT) dan juga penerima Anugerah Penyelidik Cemerlang (APC), di samping turut tercalon bagi anugerah Anugerah Kedoktoran Cemerlang Tuanku Canselor (AKCTC) UiTM.

Kandungan utama ceramah yang telah disampaikan oleh Sr Dr. Irwan adalah mengenai pengalaman beliau semasa menjalankan PhD. Beliau juga turut berkongsi kaedah dan teknik untuk menamatkan pengajian PhD kurang daripada tempoh 3 tahun. Selain itu, beberapa tips pengurusan masa di sepanjang tempoh pengajian turut dikongsikan oleh beliau. Sr Dr. Irwan turut diajukan pelbagai soalan oleh peserta webinar mengenai kehidupan beliau sewaktu bergelar pelajar terutamanya dari aspek mengimbangi masa antara peranan beliau sebagai pelajar pascasiswazah mod separuh masa, dan pada masa yang sama merupakan pensyarah sepenuh masa di UiTM Cawangan Perak.

Siri perkongsian yang telah dijalan selama 2 jam tersebut telah berjaya menarik ramai peserta di kalangan pelajar pascasiswazah semasa, bakal pelajar dan alumni program AP992.  Program webinar yang dibuka penyertaan kepada umum secara percuma ini, telah berjaya mempromosi dan memperkenalkan program AP992 kepada masyarakat luar, sekaligus ianya telah berjaya mencapai matlamat objektif program yang diadakan.