Program Webinar: Hari Keusahawanan

PUNCAK ALAM – 3 Jun 2021, Program Webinar: Hari Keusahawanan anjuran Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam telah diadakan melalui platform aplikasi Facebook Live ‘MELTECH UiTM Puncak Alam’. Seramai 107 orang pelajar termasuk 94 peserta daripada jurusan Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam, 13 orang penganjur dan seorang panel jemputan telah terlibat dalam menjayakan program ini.

Program keusahawanan ini merupakan usaha Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH) Sesi 2020/2021 untuk menambah ilmu pengetahuan tentang cara-cara menjana pendapatan sampingan dan mendedahkan peluang perniagaan serta perdagangan kepada peserta. Seterusnya, program ini juga bertujuan untuk memupuk nilai keusahawanan dalam diri para pelajar serta mengasah bakat dalam bidang keusahawanan dalam diri para pelajar. Program keusahawanan ini juga dapat memberi keyakinan yang tinggi terhadap para pelajar dalam menceburi bidang keusahawanan. Panel forum yang dijemput merupakan alumni Teknologi Makmal Perubatan yang kini sedang berkhidmat sebagai Site Manager di Shell Bypass 1 dan Shell Semambu.

Pengarah program, Azleen Nurkarmilya binti Azami berkata, program ini memberikan impak yang positif justeru program sebegini amatlah penting kepada mereka yang ingin melibatkan diri dalam bidang keusahawanan. Sehubungan dengan itu, beliau turut berharap universiti dapat melahirkan usahawan muda yang berjaya dan bijak dalam menjana pendapatan sendiri serta dapat memupuk nilai berdikari dan nilai keusahawanan dalam diri pelajar melalui program sebegini.

“Matlamat saya dalam menjayakan program ini adalah agar semua peserta berminat menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dan sasaran MASMED yang diberikan kepada pihak Fakulti Sains Kesihatan (FSK) tercapai,” katanya.