Pahang, 24 Mei 2024 – Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Kompleks Tok Gajah telah melancarkan program “Semangat Tanpa Batas” yang melibatkan JPK Tok Gajah, JPK KMK, dan pengawas sekolah (SK) Jengka 11. Program ini bertujuan untuk memupuk bakat kepemimpinan di kalangan anggota organisasi serta memperluas pengetahuan mereka, khususnya dalam bidang komunikasi, untuk bersedia menghadapi cabaran dalam dunia pekerjaan.
Program yang berlangsung selama dua hari, dari 26 hingga 27 April 2024 di SK Jengka 11, Bandar Jengka, melibatkan pengawas sekolah SK Jengka 11 serta ahli Jawatankuasa Perwakilan Kolej Tok Gajah. Turut sama memantau program adalah Pn Wan Roila Wan Abdullah selaku penasihat program, Pn Azidatul Anis Aziz, Penolong Pendaftar (Asrama) Kompleks Tok Gajah dan Dr. Norhaslinda Arun, Ketua Staf Residen Kolej UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka.
Hari pertama program ini disemarakkan dengan sesi motivasi kepada pengawas sekolah SK Jengka 11. Mereka dijadikan fasilitator dalam dua Latihan dalam Kumpulan (LDK) bertajuk “Kenali Potensi Diri” dan “Suka Duka Pemimpin”. Sesi motivasi ini bertujuan untuk mendidik para peserta dalam bidang kepemimpinan agar lebih percaya diri dan dapat memimpin dengan baik. Slot LDK pertama bertujuan untuk mengenali potensi diri pengawas, manakala slot LDK kedua membincangkan cabaran dan tanggungjawab seorang pemimpin.
Hari kedua program ini diisi dengan aktiviti mengecat dan menghias kelas pemulihan khas. Peserta tidak hanya mengecat kelas, tetapi juga menghiasnya untuk menjadikan persekitaran pembelajaran lebih ceria dan menarik bagi pelajar. Para peserta akan menerima sijil daripada pihak SK Jengka 11 dan sekolah turut menaja enam buah hamper hadiah bernilai RM 300.
Program “Semangat Tanpa Batas” ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dengan menumpukan kepada aspek Pendidikan Berkualiti, yang mana program ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti pembelajaran dengan menguji ketahanan minda pelajar dalam menghadapi pelbagai rintangan semasa mempelajari perkara baharu.
Dalam ucapan penutup, Dr. Haji Mohd Kamal Azman Bin Jusoh, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Pahang, menyatakan sokongan penuh kepada inisiatif ini dan berharap program seperti ini akan terus dijalankan untuk memperkasa bakat dan kemahiran pelajar.