JENGKA, 6 Mei 2024 – UiTM Cawangan Pahang melalui Fakulti Perladangan dan Agroteknologi telah menganjurkan satu program “Knowledge Transfer Program” (Program Pemindahan Ilmu) pada 26 April 2024 (Jumaat) bersama warga Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat. Objektif utama program adalah bagi berkongsi pengetahuan dan kemahiran mengenai penjagaan dan potensi tanaman nanas. Program ini juga bertepatan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG): Menamatkan kelaparan (SDG 2) dengan menggandakan produktiviti dan pendapatan pengeluar makanan berskala kecil.
Seramai 52 orang warga PPKI Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat terlibat dalam program ini bersama 9 orang guru pengiring. Disamping itu, 15 orang pelajar, 14 orang pensyarah Fakulti Perladangan & Agroteknologi dan 5 orang staf sokongan turut menyertai program ini selaku fasilitator.
Program telah dimulakan dengan kata- kata aluan dan selamat datang daripada Pengarah Program Jom Masuk Ladang, Dr. Norhaslinda Arun. Seterusnya pelajar dibawa ke Plot Tanaman Nanas Jengkapine UCPh menaiki traktor dan pacuan empat roda Unit Pengurusan Ladang UCPh. Pelajar diberi pendedahan mengenai tanaman nanas dan kaedah penjagaan oleh Pegawai Pertanian En Shamsuddin Ismail serta diberikan peluang untuk menanam sendiri sulur nanas diatas batas yang telah disediakan.
Seterusnya pelajar di bawa ke Makmal Sains Tumbuhan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi untuk perkongsian ilmu kaedah pembiakan melalui kaedah tisu kultur oleh Dr. Nazatul Asikin Muda, (PI Geran Khazanah Alam UCPh: Micropropagation of Ananas comosus cv. MD2 Jengkapine via Direct Organogenesis and Temporary Immersion Biorector System). Untuk sesi yang berlainan para peserta telah diberikan pendedahan tentang dunia serangga dan serangga perosak oleh Dr. Neni Kartini Che Mohd Ramli. Kedua-dua pensyarah ini merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi yang berpengalaman dalam bidang penyelidikan dan pengajaran.
Bagi meneruskan jalinan Kerjasama di antara UCPh dan komuniti, kedua pihak telah bersetuju untuk menandatangani jalinan kerjasama. Semoga program ini menjadi pendorong untuk jalinan kerjasama seterusnya antara kedua belah pihak. Program berakhir dengan ucapan penutup daripada Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perladangan & Agroteknologi Dr. Mohd Khairi Che Lah, Koordinator ICAN UCPh, Dr. Nurrohana Ahmad dan Guru Penolong Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat, En. Mohd Rosniza Mustapa. Diharapkan semoga program ini dapat memberi manfaat kepada para peserta serta diteruskan pada masa akan datang.