Program USR Jalinan Kasih Bersama Persatuan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah, Perak, Meningkatkan Sokongan Komuniti dan Kebajikan

Seri Iskandar, Ogos 30, 2024 – Satu program University Social Responsibility (USR) telah berlangsung pada 11 Ogos 2024 di Persatuan Kebajikan Anak Yatim Dan Miskin Al-Munirah Parit, Perak bagi meraikan anak yatim dan miskin yang terdiri daripada anak-anak yang seawal umur 8 hingga 18 tahun. Program ini merupakan anjuran bersama antara Unit Pra Siswazah UiTM Cawangan Perak, Unit Hal Ehwal Antarabangsa UiTM Cawangan Perak, Universiti Islam Indonesia, Jogjakarta dan Dewan Belia Negeri Perak N-39 Belanja. Objektif utama program ini dijalankan bagi mewujudkan ikatan murni antara individu serta memperkukuhkan hubungan silaturrahim dengan anak yatim di samping memupuk semangat komuniti yang lebih erat. Selain itu, program ini juga membantu pihak daripada Unit Pra Diploma mempromosikan program di bawah Unit Pra Diploma UiTM serta mengenal pasti calon-calon yang berpotensi dan layak untuk menyambung pengajian di peringkat pra diploma yang ditawarkan di setiap kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM). Tambahan pula, program ini bertujuan untuk mempergiat kerjasama antara Unit Antarabangsa UiTM Cawangan Perak dan Universiti Islam Indonesia, Jogjakarta agar aktiviti USR UiTM ini dapat dikekalkan secara berterusan.

Selari dengan objektif utama program ini, dua aktiviti utama telah dijalankan secara serentak di mana sesi pertama melibatkan aktiviti motivasi anak-anak penghuni rumah kebajikan tersebut dan sesi kedua melibatkan penyediaan makanan tengah hari yang dimasak dan disediakan sendiri oleh semua AJK program terdiri daripada kalangan pensyarah-pensyarah UiTM Cawangan Perak. Seramai 23 orang anak-anak yang terlibat seawal usia 8 sehingga 18 tahun seperti yang telah dinyatakan sebelum ini adalah kanak-kanak lelaki. Bagi memastikan objektif program ini tercapai, sesi motivasi anak-anak ini melibatkan 3 modul iaitu refleksi dan potensi diri, semarak jiwa dan peluang melanjutkan pelajaran. Aktiviti penyediaan makanan tengah hari pula melibatkan menu tengah hari seperti nasi putih bersama ayam masak lemak cili padi, ayam berlada dan sayur campur, manakala air sirap sebagai minuman serta potongan buah tembikai sebagai pelengkap santapan anak-anak ini.

Program ini berjalan dengan lancar dan berakhir pada pukul 2 petang. Diharap dengan adanya program jalinan kasih ini, ia dapat mengeratkan lagi ikatan persaudaraan dan membantu golongan yang kurang bernasib baik di samping memberi peluang kepada lebih ramai lagi masyarakat untuk  berbakti kepada golongan yang memerlukan.

Laporan disediakan oleh Hafini Suhana Ithnin* dan penulis bersama ialah Dr Siti Nur’Amalina Syeddin, Nor Zarina Mohd Salim, Noormahayu Mohd Nasir dan Dr Daljeet Singh Sedhu A/L Janah Singh.

*Koresponden: hafinisuhana@uitm.edu.my