Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) UiTM Cawangan Pahang (UCPh) telah menganjurkan Program University Social Responsibility (USR) Bersama Sekolah Kebangsaan Desa Jaya: “Caring For The Future” pada 20 Oktober 2023 (Jumaat) bertempat di sekitar kawasan UCPh termasuk Ladang (Plot Nanas, Ladang Kongsi, Projek Hidroponik dan Plot Sawit), Taman Herba serta Makmal Sains Tanah. Objektif utama program ini adalah untuk berkongsi pengetahuan dan kemahiran Asas Pertanian dan Sains Akuakultur kepada peserta yang terdiri daripada 35 orang murid Tahap 2 Sekolah Kebangsaan Desa Jaya (SKDJ) diiringi 3 orang guru serta bagi menyampaikan sumbangan benih ikan keli kepada pihak SKDJ. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk membantu komuniti setempat terutamanya warga SKDJ dalam mencapai jaminan makanan dan nutrisi yang lebih baik serta menggalakkan pertanian mampan seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Gol 2 Menamatkan kelaparan (SDG 2).
Antara aktiviti yang dijalankan ketika program ini berlangsung adalah lawatan ke Ladang UiTM seperti Plot Nanas di mana pegawai Unit Pengurusan Ladang (UPL) yang bertanggungjawab berkongsi pengetahuan dan pengalaman beliau mengusahakan projek tanaman Nanas MD2 Jengkapine dan juga menjamu para peserta dengan jus nanas. Selain itu, peserta juga dibawa melawat ke Ladang Kongsi di mana pelajar Diploma Pengurusan Ladang (AT110) menjalankan amali penanaman sayur serta Pojek Hidroponik yang diusahakan oleh pelajar Pra Agroteknologi (AT001/002). Kemudian para peserta dibawa menaiki traktor untuk ke Taman Herba bagi memberi makan ikan di kolam seterusnya dibawa ke Makmal Sains Tanah untuk sesi perkongsian ilmu berkenaan Asas Pertanian serta Sains Akuakultur yang disampaikan oleh Dr. Neni Kartini Che Mohd Ramli, Pensyarah Kanan FPA UCPh.
Sebelum program ini berakhir, wakil kedua-dua pihak iaitu Dr. Mohd Khairi Che Lah, Ketua Pusat Pengajian (KPP) FPA serta Encik Mohd Itan Saady Yeop Yahaya, Guru Besar SKDJ telah menandatangani sijil jalinan kerjasama antara UCPh dan SKDJ. Program ini telah berjalan dengan lancar dan diakhiri dengan sesi bergambar selepas penyampaian sumbangan benih ikan keli dan cenderahati kepada pihak SKDJ.