Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Pulau Pinang (HPPNPP) dan Ekspo Agro Buddies (EAB) Universiti Teknologi Mara Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) 2023 telah melabuhkan tirai pada 10 Disember 2023 dengan jayanya. Program yang telah berlangsung selama tiga hari ini bermula dari 8 hingga 10 Disember 2023 ini merupakan jalinan kerjasama antara Pejabat Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan Dan Pembangunan Koperasi Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Pengurusan dan Perniagaan UiTMCPP. Turut menjayakan program ini ialah penglibatan daripada tiga Special Interest Group (SIG) UiTMCPP iaitu SIG SOLID, SIG HCISE dan SIG COMPAC, Malaysia Innovation Association (MIA), Unit hal Ehwal Islam UiTMCPP, dan Jabatan Pendidikan Negeri. Idea YB Tuan Fahmi Zainol selaku EXCO tersebut untuk menggabungkan program HPPNPP dan EAB adalah keputusan yang wajar dipuji kerana ianya dapat merapatkan jurang pemikiran anak muda tentang bidang agro yang meliputi aktiviti peladangan, penternakan dan nelayan. Justeru, program EAB menfokuskan kepada kanak- kanak tadika, pelajar sekolah menengah dan mahasiswa UiTMCPP untuk menyemai minat mereka terhadap bidang agro, manakala sambutan HPPNPP adalah bagi mendedahkan kepada orang ramai tentang bidang agro serta menghargai jasa peladang, penternak dan nelayan di Pulau Pinang.
Program ini bertemakan ‘Keterjaminan Makanan Untuk Masa Depan’ telah dirasmikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow. Tema tersebut sangat bertepatan dengan aspirasi sambutan yang memberi tumpuan kepada aplikasi teknologi, inovasi dan modenisasi sektor pertanian yang selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2023 (DAN 2.0). Seterusnya terdapat tiga fokus utama yang turut digariskan dalam tema penganjuran program berkenaan. Fokus yang pertama ialah menggalakkan dan mengekalkan golongan muda dalam bidang pertanian, penternakan dan perikanan. Penglibatan golongan muda secara lebih meluas dalam bidang pertanian dapat membantu mengukuhkan agenda keterjaminan makanan. Bagi mencapai fokus ini, sesi ceramah Agroteknopreneur telah diadakan khusus buat pelajar UiTM Cawangan Pulau Pinang dan amnya kepada pengunjung ekspo. Empat orang penceramah yang merupakan pakar industri telah dijemput khas bagi berkongsi ilmu mengenai bidang pertanian dan keusahawanan.
Fokus kedua pula ialah menonjolkan kecanggihan agroteknologi dan inovasi pertanian melalui Pertandingan Pokok Agro Buddies dan Pertandingan Inovasi Teknologi Pertanian. Sebanyak 10 buah sekolah menengah di sekitar negeri Pulau Pinang telah menyertai kedua-dua pertandingan ini. Pertandingan yang diadakan ini bukan sahaja untuk bertujuan untuk menyuburkan daya pemikiran kreatif dan inovasi teknologi bidang pertanian, malah ianya adalah untuk menyemai semangat minat bertani dalam kalangan kanak-kanak melalui pendekatan aktiviti mesra kanak-kanak terhadap bidang pertanian bagi menjadi feeder kepada program Agropreneur Muda dibawah kementerian Pertanian dan keterjaminan Makanan. Disamping itu, Agro Kids Corner juga diwujudkan bagi mendedahkan kanak-kanak dengan aktiviti ringkas tentang bidang agro seperti mewarna jenis tumbuhan dan haiwan, membaca buku berkaitan agro, dan pelbagai aktiviti yang ditawarkan kepada kanak- kanak berumur 3 tahun hingga 1o tahun.
Manakala fokus yang terakhir adalah meliputi pameran statik daripada setiap agensi dibawah pejabat EXCO. Pasar Agro Madani anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan FAMA (Lembaga Pemasaran Persekutuan) Pulau Pinang telah memberi manfaat kepada komuniti Pulau Pinang termasuklah staf dan pelajar UiTMCPP untuk membeli bahan basah seperti ayam, beras, telur dan pelbagai pada harga yang rendah bagi menampung kos sara hidup. Manakala Jualan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Lorong Nostalgia juga telah berjaya membantu usahawan di sekitar Pulau Pinang untuk memperkenalkan dan menjual produk kepada komuniti di Pulau Pinang. Satu majlis Malam UiTM Berselawat juga telah dianjurkan pada 8 Disember 2023 di Pusat Islam UiTMCPP. bagi memberkati program ini.
Majlis penutup bagi program ini telah dirasmikan dengan jayanya oleh Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohammad Abdul Hamid. Program ini merupakan julung kalinya diadakan dengan anjuran bersama pihak UiTMCPP dan 13 agensi Kerajaan dibawah pejabat EXCO. Kesimpulannya, program ini merupakan program USR berimpak tinggi kerana telah melibatkan usahasama pihak kerajaan negeri Pulau Pinang, pihak UiTMCPP, pelajar sekolah dan universiti serta pihak industri dalam bidang agro. Tahap keterlibatan komuniti dalam program ini meliputi siri pemindahan ilmu oleh pakar kepada komuniti melalui ceramah, bengkel agro Buddies dan pertandingan pokok Agro Buddies yang telah dibimbing dan dinilai oleh pakar daripada Jabatan pertanian. Manakala Pertandingan Inovasi dalam pertanian telah dinilai oleh juri lantikan MIA. Semoga program usahasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang agar dapat memanfaatkan lebih ramai komuniti di Pulau Pinang. Pihak UiTMCPP sentiasa komited untuk membantu pihak kerajaan sebagai rakan sinergi dalam melaksanakan program komuniti berimpak tinggi bagi memacu perubahan dan melestarikan bidang agro untuk keterjaminan makanan di masa depan.