Program Uncover the Secret: “Let’s Hunt to the Top”

JENGKA, 15 Disember 2024 – Kumpulan pelajar BA1325G yang merupakan pelajar tahun akhir (Semester 5), Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat (BA132), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan telah menganjurkan sebuah program iaitu Uncover the Secret: “Let’s Hunt to the Top”.  Program yang bertempat di Dewan Ibnu Hazm, Blok IST, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Jengka telah berlangsung bermula pada jam 8:00 pagi sehingga jam 12:30 tengah hari dan dianjurkan dengan objektif utama bagi memenuhi keperluan kursus Penganjuran Acara (OBM310).

Program yang dirasmikan oleh Encik Mohd Azizul bin Sulaiman, Ketua Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi (PPPT), Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang Kampus Jengka telah menjemput Encik Mohd. Ikhsan bin Md. Raus, Pensyarah Kanan, Pusat Sains Pengkomputeran, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang Kampus Jengka selaku penceramah jemputan untuk memberi perkongsian mengenai kepimpinan berdasarkan pengalaman serta kepakaran beliau yang juga merupakan seorang Pegawai Latihan Akademik Kor Suksis.  Selain itu, program menjemput Puan Nor Farhana binti Mohd Azmi, Koordinator Kursus, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi, Fakulti Pengurusan dan Perniagan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang Kampus Jengka dan Puan Hazlin binti Hasan sebagai pensyarah penilai untuk turut sama hadir bagi memeriahkan lagi majlis.

Program yang diadakan secara bersemuka dan interaktif ini telah melibatkan seramai 40 orang pelajar Semester 1, Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat (BA132) sebagai kumpulan sasaran.  Selain dari berjaya berkongsi sedikit ilmu berkaitan dengan murid berkepimpinan, program ini juga berjaya meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan kerjasama antara ahli kumpulan melalui aktiviti treasure hunt yang dilaksanakan selepas berakhirnya sesi ceramah dari Encik Mohd. Ikhsan.  Sepanjang acara ini dijalankan, para peserta dikehendaki untuk berbincang sesama ahli kumpulan yang telah ditetapkan untuk menyelesaikan beberapa permainan yang telah dirancang oleh penganjur.  Mereka juga dikehendaki menggunakan kemahiran berfikir secara kritikal untuk menyelesaikan kuiz bagi mendapatkan petunjuk tentang Lokasi harta karun untuk menjadi pemenang bagi aktiviti treasure hunt. 

Seterusnya, pelaksanaan program ini turut membantu pihak Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi, Fakulti Pengurusan dan Perniagan serta Universiti dalam memenuhi pencapaian SDG 3 (Matlamat Pembangunan Mampan iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan Yang Baik).

Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada para peserta di akhir program, mereka berasa sangat seronok dan berpuas hati dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran baharu yang dapat diperolehi hasil daripada menyertai program ini.  Dengan kemahiran berinteraksi yang baru dikuasai, mereka berasa lebih yakin untuk menghadiri majlis yang seumpamanya pada masa akan datang kerana ilmu dan kemahiran yang dimiliki telah membantu membentuk peribadi diri yang lebih optimis, berani dan teguh.

Akhir sekali, penganjuran program ini juga turut memberi pengalaman baharu bukan sahaja kepada para peserta, tetapi juga kepada para penganjur dari kumpulan BA1325G yang telah bertungkus-lumus memastikan program berjalan dengan lancar serta mengikut pelan yang telah dirancang memandangkan pada masa yang sama mereka turut dinilai oleh pensyarah penilai iaitu Puan Hazlin binti Hasan dalam aspek penganjuran acara.  Penglibatan para sukarelawan yang terdiri daripada pelajar tahun akhir Semeter 5, Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat (BA132) turut memeriahkan lagi program serta membantu pihak penganjur dalam melancarkan perjalanan program secara keseluruhannya.

Penulis bersama: Mohamad Hazim Mohd Azmi, Nurin Rasyiqah Rizal