Puncak Alam – Program Theraactive Monthly Series 2024 telah dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS), Fakulti Sains Kesihatan UiTM Kampus Puncak Alam sesi 2023/2024. Program ini telah berlangsung secara bersemuka selama 3 bulan. Kursus ini dilaksanakan pada setiap hari Khamis iaitu 25 April 2024 , 16 Mei 2024 dan 13 Jun 2024 yang bermula pada pukul 2.00 petang sehingga 3.00 petang. Untuk makluman, program ini telah disertai oleh semua pelajar Persatuan Pelajar Fisioterapi yang terdiri daripada semester 2,4 dan 6 berserta 17 orang ahli jawatankuasa yang telah bertungkus lumus demi menjayakan program ini. Program ini merupakan aktivit sukan yang dianjurkan oleh exco sukan dan kebudayaan Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS) sesi 2023/2024.
Objektif utama program ini diadakan adalah untuk melahirkan mahasiswa fisioterapi yang aktif dan produktif serta sihat tubuh badan. Seterusnya, program ini juga dapat mengeratkan silaturahim di antara pelajar fisioterapi, staf dan juga pensyarah. Selain itu, tujuan program ini adalah untuk memupuk mahasiswa supaya memahami konsep kecergasan, prinsip latihan dan cakna akan langkah keselamatan yang perlu dipatuhi. Seterusnya, melahirkan mahasiswa yang cergas dan dapat mengimbangkan masa dari segi akademik dan aktiviti sukan merupakan aspek yang paling penting yang perlu ada dalam diri setiap mahasiswa. Akhir sekali, program ini juga dapat mengasah daya kepimpinan serta kemahiran berkomunikasi pelajar dalam mengenali antara satu sama lain dan juga sebagai nilai tambah yang akan diperlukan bukan sahaja dalam kerjaya malah dalam kehidupan seharian.
Pada bulan pertama, program ini dirasmikan oleh Penasihat Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS 2023/2024). Program dimulakan dengan sesi pendaftaran pada jam 1.45 petang. Pada jam 2 petang, program dimulakan dengan perarakan kemasukan barisan VIP dan Penasihat (PHYTAS ) sesi 2023/2024. Seterusnya, nyanyian lagu Negaraku dan Wawasan Setia Warga UiTM serta bacaan doa dan diteruskan dengan ucapan pengarah program serta ucapan perasmian oleh Encik Naim Faiz Bin Ahmad Imran selaku penasihat 1 Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS) sesi 2023/2024. Program diteruskan lagi dengan sesi warming up dan senamrobik yang diwakili oleh pelajar semester 2. Majlis penutup telah diadakan tepat pada pukul 3.30 petang dengan pengisian sesi fotografi dan nyanyian lagu UiTM Dihatiku .
Secara keseluruhan, program ini telah memberikan impak positif kepada para peserta dan ahli jawatankuasa sepanjang program berlangsung dalam merealisasikan objektif dan matlamat program. Pihak Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS) berharap agar program ini dapat membantu exco-exco Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS) mempersiapkan diri dalam mengendalikan program yang akan berlangsung pada masa hadapan dengan jayanya. Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini. Sekian, terima kasih.