Program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) KOMSAT, UiTM Cawangan Sabah Bersama Rumah Anak Yatim Ar-Raudhoh, Tawau

Tawau, 24 Ogos 2024: Bagi menyemai minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Kompleks Makmal Sains dan Agroteknologi (KOMSAT), Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Kota Kinabalu dengan kerjasama UiTMCSH Kampus Tawau telah menjalankan Program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) bertempat di Rumah Anak Yatim Ar-Raudhoh, Tawau.

Rumah Anak Yatim Ar-Raudhoh yang terletak di Batu 4 1/2 Jalan Apas, Tawau mula beroperasi pada pertengahan tahun 2007 yang menempatkan 22 orang penghuni berumur dalam lingkungan 7 hingga 17 tahun yang terdiri daripada 12 anak yatim lelaki dan 10 anak yatim perempuan.

Program berbentuk khidmat masyarakat ini bertujuan memupuk semangat para penghuni Rumah Anak Yatim Ar-Raudhoh untuk menghargai ilmu pengetahuan seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi khususnya dalam bidang STEM, di samping mengukuhkan nilai-nilai kebajikan dan kebersamaan dalam kalangan warga UiTM Cawangan Sabah sekali gus meningkatkan imej universiti sebagai sebuah institusi yang dinamik, proaktif, dan prihatin terhadap kemaslahatan bersama masyarakat setempat.

Antara aktiviti yang telah dilaksanakan adalah:

  • Ceramah motivasi bertajuk ‘Developing an Optimistic Attitude and Mindset’ oleh Dr. Rosfayanti Rasmidi, Koordinator KOMSAT
  • Sukaneka berkumpulan bagi mengeratkan hubungan dan kerjasama semua anak yatim bersama warga UiTM
  • Demonstrasi STEM bagi memberi peluang kepada anak yatim melibatkan diri dalam eksperimen dan aktiviti hands-on yang menggalakkan rasa ingin tahu dan minat dalam mencari penemuan baru
  • Penyerahan sumbangan wang tunai hasil ihsan daripada warga UiTM Cawangan Sabah

Semoga program USR ini dapat memberi impak yang positif dalam menghargai ilmu pengetahuan dan menyemai minat dalam bidang STEM dalam kalangan penghuni Rumah Anak Yatim Ar-Raudhoh di samping meningkatkan semangat keprihatinan dan kebersamaan warga UiTM terhadap komuniti setempat.

Turut hadir, Tn. Haji Ahmad Siong, Pengurus Rumah Anak Yatim Ar-Raudhoh, 9 orang staf KOMSAT, diketuai Koordinator KOMSAT, Dr. Rosfayanti Rasmidi bersama 4 orang staf UiTMCSH Kampus Tawau yang diketuai Koordinator Kampus Tawau, Tn. Haji Muliyadi Haji Guliling.

Nama Penulis Bersama: Jemat Julaihi Basri, Dr. Rosfayanti Rasmidi, Anah Huda dan Muliyadi Guliling