Ramadan merupakan bulan yang mendidik umat Islam untuk melihat dan merasakan penderitaan dan kesusahan mereka yang hidupnya serba kekurangan, menderita dan kelaparan. Justeru, bagi sama-sama merasakan keindahan dan kenikmatan beribadah sepanjang bulan yang membawa seribu kerahmatan ini, pihak KMK MART telah berusaha melaksanakan aktiviti sukarelawan iaitu Program Pengagihan Makanan Ramadan 1444H demi menikmati dan mengecapi nilai kebersamaan dalam Islam seperti yang dianjurkan oleh Nabi SAW.
Adalah diharapkan melalui penganjuran program ini agar setiap pekerja Kedai KMK MART yang mengambil bahagian dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dengan pelanggan-pelanggan yang juga merupakan pelajar-pelajar kolej kediaman UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka. Selain itu, diharapkan juga agar program ini dapat mengajar dan membimbing dalam setiap diri pekerja KMK MART termasuk rakan-rakan pelajar yang lain melahirkan rasa cinta pada agama dan ibadah demi menjadikan mereka sebagai insan yang terbaik di sisi Allah SWT.
Pada kesempatan Ramadan 1444H ini, KMK MART telah mensasarkan pengagihan makanan kepada pelajar siswa dan siswi dalam kalangan B40 yang menghuni kolej kediaman di UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka. Menu yang disediakan adalah Nasi Beriyani Ayam, Air Mineral dan gula-gula. Program ini telah berjaya dilaksanakan pada 6 April 2023 (ibadat puasa pada hari yang ke-15). Lokasi agihan pula dilakukan di KMK MART di Lot 1 dan Lot 2 Kolej Mat Kilau 2 (KMK 2) mulai jam 5.30 petang sehingga selesai.
Alhamdulillah, sambutan yang diperoleh daripada para pelajar terhadap program ini adalah positif dan sangat menggalakkan. Pihak KMK MART berdoa dan berharap agar program tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan ini akan berkekalan dan dapat dilaksanakan secara berterusan dari tahun ke tahun bagi sama-sama merasakan keindahan dan kenikmatan beribadah sepanjang bulan yang membawa seribu kerahmatan.