Semenyih, 20 Julai – Penglibatan komuniti mempunyai kuasa untuk mengubah kehidupan, bukan sahaja untuk mereka yang menerima bantuan, tetapi juga untuk mereka yang menawarkannya. Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA) menyedari kepentingan ini dan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menyuntik positiviti dalam kalangan warga UiTM khususnya. Begitulah adat hidup tolong-menolong syariat palu- memalu yang bermaksud hidup hendaklah bantu-membantu, begitu juga dalam agama.
Justeru itu pada 20 Julai yang lalu, warga (InQKA) seramai 27 orang telah hadir ke Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia yang terletak di Semenyih, Selangor. Ianya bukan sekadar satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) semata-mata tetapi juga sebagai kesempatan untuk berhubung dengan komuniti luar pada peringkat individu mahupun organisasi.
Sedikit info ringkas, Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia ini telah berdaftar di bawah akta Pusat Jagaan 1993 Jabatan Kebajikan Masyarakat. Objektif penubuhan adalah bagi menempatkan penghuni-penghuni yang terdampar (faktor terbiar, kemiskinan, tiada tempat tinggal). Empat kategori penghuni yang dibawa masuk adalah dari golongan penghuni tanpa waris, warga emas, orang kurang upaya dan mualaf (saudara baru Islam).
Jumlah penghuni seramai 49 orang bukanlah satu angka yang kecil. Seperti geruh tak mencium bau, begitulah yang menimpa penghuni rumah jagaan ini. Kerapuhan institusi keluarga, kelemahan sistem kekeluargaan, keruntuhan akhlak, dan ketidakpatuhan kepada ajaran agama menjadi penyumbang utama kes pengabaian oleh ahli keluarga mereka sendiri.
Melihat kepada sudut pelaksanaan kewangan dan dana pula, syarikat-syarikat korporat, badan-badan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) serta agensi-agensi tertentu turut sama membantu membiayai penubuhan pusat jagaan ini.
Maka InQKA dengan kerjasama dari penaja utama kami iaitu MYDIN Malaysia (sebuah rangkaian pemborong dan peruncit tempatan halal terbesar di Malaysia) bersama-sama ‘turun padang’ menyampaikan sumbangan yang dikumpulkan bernilai lebih dari 12 ribu ringgit kepada pusat jagaan tersebut. Program ini dimulakan dengan ucapan kata aluan oleh Prof. Dr. Azizah Abdullah selaku Penolong Naib Canselor InQKA dan sepatah dua kata dari Pengerusi iaitu Tuan Hj. Azman bin Rasman.
Acara seterusnya adalah sesi penyerahan bantuan keperluan kepada Tuan Pengerusi dan diteruskan dengan ceramah agama dan motivasi oleh Ustaz Mohd Shaffiaizad. Acara kemuncaknya adalah penyerahan goodies kepada ‘ayah dan ibu’ di sana sambil beramah mesra.
Sebelum bersurai, warga InQKA sangat berbesar hati dapat bergambar bersama para penghuni sebagai tanda kenang-kenangan. Adalah menjadi harapan semua agar program ini memberi seribu manfaat kepada semua pihak.