Program SULAM – Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan bersama PPDK Ikatan Kasih

20 Mei 2024 – Pelajar Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Tapah di bawah bimbingan Puan Zubainun Mohamed Zabidi pensyarah kod kursus FSG301 telah menganjurkan program Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan bersama Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Ikatan Kasih, Bidor. PPDK Ikatan Kasih adalah sebuah pusat yang ditubuhkan oleh Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Pusat ini menyediakan perkhidmatan terapi bagi individu yang mempunyai ketidakupayaan intelektual dan fizikal. Program Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan ini, adalah daripada inisiatif Service Learning Malaysia (SULAM) yang melibatkan pelajar dalam khidmat komuniti dalam meningkatkan pemahaman tentang amalan keselamatan dan kesihatan diri.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan PPDK Ikatan Kasih bagi mempromosikan persekitaran yang bersih dan selamat supaya dapat mengelak kemalangan tak diingini serta mencegah penyebaran bakteria dan virus. Aktiviti amalan kebersihan yang lain ialah mengajar peserta teknik mencuci tangan yang betul. Ini dapat memastikan pelajar dan peserta dapat menjaga kebersihan diri dan juga pelajar dapat meningkatan kemahiran komunikasi antara pelajar dan peserta program. Selain itu, aktiviti yang lain ialah membentuk tanah liat dan mewarna gambar rajah yang diberi bagi mengasah kreativiti dan meningkatkan kemahiran motor (Motor Skill) peserta.

Melalui program ini, pelajar Fakulti Sains Gunaan dapat mempelajari kepentingan penglibatan pelajar dalam komuniti setempat kerana dapat memupuk sikap positif iaitu keprihatinan sosial dalam membantu individu memahami cabaran yang dihadapi oleh orang lain. Selain itu, sikap bertanggungjawab terhadap masyarakat sekeliling dapat dipupuk oleh para pelajar. Semoga program seperti ini diteruskan pada masa hadapan kerana melalui penyertaan aktif pelajar dalam program komuniti, individu dapat menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan juga dapat meningkatkan kemahiran peribadi dan profesional.

Penulis: Zubainun Mohamed Zabidi, Dr Ahmad Nazib Alias, Nurul Aimi Zakaria