Program Sulam EVA515 “Little Green Guardian: Kindergarten Environment Project For Earth Day”

SEREMBAN, 14 Jun 2024 – Pelajar Part 4 Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (BEVA) bersama-sama pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) telah menganjurkan program “Little Green Guardian: Kindergarten Environment Project For Earth Day” yang telah dijalankan pada 14 Jun 2024 di Q’dees Kindergarten Rasah Jaya, Seremban. Seramai 38 orang murid tadika telah menyertai program ini. Tujuan utama program ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar tadika untuk belajar tentang alam sekitar dan memupuk rasa tanggungjawab terhadap alam semulajadi dalam kalangan murid-murud tadika. Program ini merupakan program SULAM (Service Learning Malaysia) semester 4 AM226 di bawah kod kursus EVA515 (Environmental Regulations and Advocacy). Seramai 48 orang pelajar dari UiTM Kampus Seremban menyertai program ini dibawah pantauan Dr. Devika Krishnan.

Mahasiswa EVA515 berjaya berkongsi pengetahuan mengenai kepentingan alam sekitar kepada kanak-kanak QDEES kerana kanak-kanak adalah antara golongan yang mudah menyerap maklumat dengan cepat dan mudah. Melalui aktiviti yang dilakukan seperti senam aerobik, menanam pokok bunga, pendedahan mengenai pencemaran laut, dan pengagihan sampah-sarap mengajar kanak-kanak untuk sentiasa memastikan alam sekitar kekal sihat. Dengan mengajar mereka nilai-nilai kelestarian alam sejak dari awal, sudah pasti membantu mereka memahami betapa pentingnya menjaga alam sekitar demi hidupan di bumi dan generasi akan datang.

Menurut Ketua Projek program ini, Saudara Muhammad Mirza Waffi Bin Mahidi, aktiviti yang dilakukan dapat membentuk pola pemikiran dan perilaku murid-murid. Kanak-kanak yang diajar untuk menghargai alam sekitar cenderung untuk mengamalkan amalan-amalan yang menjaga alam sekitar sekaligus mengajar kanak-kanak untuk menghormati kehidupan dengan memelihara dan memulihara alam sekitar. Secara keseluruhannya, program ini memberikan kesan positif kepada kanak-kanak kerana dapat menambah ilmu pengetahuan, pengalaman dan dalam masa yang sama dapat menerapkan rasa sayang akan alam sekitar dalam diri kanak-kanak.