Kepala Batas, 2 Julai 2024 – PKE UiTM Pulau Pinang telah menerima undangan untuk menyertai “Program Sempena Minggu STEM dan Sains SMKPS.” Program ini diadakan di Dewan Angsana SMK Pokok Sena di Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena di Kepala Batas, Seberang Perai Utara. PKE telah mengadakan dua pameran pada kali ini: Misi Akademik dan Program ‘Service-Learning Malaysia University for Society’ (SULAM).
Program SULAM adalah kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang menggabungkan matlamat sesuatu kursus dengan khidmat komuniti. Program Ini memberi peluang pelajar berinteraksi dengan komuniti untuk menggunakan pengetahuan mereka bagi menyelesaikan permasalahan setempat. Program SULAM kali ini diketuai oleh Prof. Madya Ts. Ir. Dr. Mohd Najib Mohd Hussain, dan disertai oleh enam pelajar yang mengambil kursus “Engineer in Society” dari program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Kepujian) (CEE200). Di samping itu, Program SULAM merupakan sebahagian dari komponen penilaian kursus. Pelajar membawa projek kursus mereka ke pameran tersebut.
Selain daripada itu, pameran misi akademik bertujuan mempromosikan program akademik di PKE UiTMCPP dan mendedahkan pelajar sekolah kepada kejuruteraan elektrik. Dr. Siti Juliana Abu Bakar dan dibantu oleh dua orang pensyarah telah mengambil bahagian dalam program ini.
Teknologi terkini yang dikongsikan oleh mahasiawa UiTM mendapat sambutan para pelajar SMKPS. Diharapkan pada masa akan datang, PKE UiTMCPP akan dapat menyumbang lebih banyak kepakaran kepada komuniti setempat. Penglibatan pelajar PKE dalam program ini telah memberi pengalaman baru kepada mereka. Semoga pelajar SMKPS memperoleh manafaat, inspirasi dari misi akademik dan perkongsian ilmu yang dijalankan.