25 Jun 2024 – Satu program SULAM (Service-Learning Malaysia–University for Society) dilangsungkan di Pusat Komuniti Kampung (PKD) Jelintoh, Gopeng, Perak. Program ini merupakan sebahagian daripada Kajian Pelan Tindakan Keusahawanan Desa, diadakan untuk memenuhi keperluan silibus bagi subjek TPR512 “Regional Planning and Development” yang melibatkan 17 orang pelajar (CFAP2214A-20242), Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah, UiTM Cawangan Perak. Tujuan utama kajian ini adalah untuk menyediakan satu Pelan Tindakan Keusahawanan Desa bagi memperkasakan fungsi PKD Jelintoh dan sekaligus berupaya menyumbangkan impak positif kepada komuniti setempat.
(Gambar 1: Pelajar bersama Pengurus PKD dan usahawan/pengusaha/peserta bengkel masakan di Pusat Komuniti Desa Kampung Jelintoh)
Program SULAM yang dijalankan ini berlangsung selama setengah hari iaitu dari pukul 10 pagi sehingga 3 petang. Antara aktiviti yang telah berlangsung, termasuklah taklimat ringkas fungsi PKD oleh Pengurus PKD Jelintoh, iaitu Puan Siti Rohana Ismail, soal selidik dan temu bual pelajar bersama peserta berkaitan aktiviti dan aspirasi keusahawanan desa, dan lawatan sekitar PKD Jelintoh.
Seterusnya, seusai berlangsung taklimat daripada Puan siti Rohana, pelajar telah menjalankan soal selidik dan temu buat terhadap peserta kursus berkenaan input dan aspirasi keusahawanan desa yang digariskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar (DLPB) 2030. Aspirasi ini menjadi pemacu kepada perkembangan keusahawan desa di Malaysia yang memberikan fokus penerapan E-commerce, teknologi mesra alam dan 4R, usahawan berpendatan tinggi, penglibatan kalangan belia, wanita dan graduan, usahawan global, dan inovasi dalam aktiviti keusahawanan.
Selain itu, program SULAM ini turut menyelitkan aktiviti lawatan tapak di sekitar PKD Jelintoh, dimana aktiviti ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara pelajar, komuniti setempat dan memahami keadaan semasa dan potensi yang ada di Kampung Jelintoh yang boleh dikembangkan, terutamanya untuk aktiviti keusahawan desa.
(Gambar 2: Pelajar sedang beramah mesra, berkongsi idea dan menimba pengalaman bersama peserta kursus)
Program SULAM ini membantu pelajar meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran mereka dengan menggunakan kaedah pembelajaran pengalaman (experiencial learning). Pelajar-pelajar berpeluang untuk terlibat secara langsung dalam situasi sebenar di lapangan yang mana mereka dapat mempraktik ilmu/teori yang dipelajari dalam kelas kepada permasalahan yang nyata. Melakukan hal ini akan membantu pelajar tidak hanya memahami konsep dengan lebih mendalam tetapi juga mengembangkan kemampuan berfikir secara kritis.
Program ini memperkuatkan jaringan dan hubungan pelajar bersama komuniti. Melalui interaksi pelajar dengan komuniti setempat, terdapat potensi untuk perkongsian pengetahuan dan sumber yang memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak. Pelajar boleh memperoleh pengetahuan dan kebijaksanaan daripada penduduk setempat, manakala komuniti pula dapat mengambil faedah dari pandangan baharu dan perspektif segar yang dibawa oleh pelajar. Paling utama, memberikan peluang kepada para pelajar untuk menyumbangkan idea-idea yang berdampak positif pada komuniti setempat melalui penyediaan Pelan Tindakan Keusahawanan Desa. Ini tidak hanya melibatkan penyelesaian praktikal terhadap isu-isu yang dikenal pasti, tetapi juga dalam bentuk cadangan strategik untuk memajukan keusahawanan desa secara berterusan dan mampan.
Ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Puan Siti Rohana Ismail, Pengurus PKD Jelintoh, atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini. Sumbangan dan komitmen beliau sangat mempermudahkan urusan serta memberikan peluang kepada para pelajar memahami situasi sebenar di Kampung Jelintoh. Terima kasih kepada Puan Siti Rohana dan seluruh komuniti Kampung Jelintoh atas penerimaan dan kerjasama yang baik sepanjang program ini berlangsung.
(Gambar 3: Pelajar bersama Puan Siti Rohana di perkarangan PKD Jelintoh)
(Gambar 4: Sesi penyampaian cenderahati kepada Puan Siti oleh pensyarah pengiring, Prof. Madya Gs. Dr. Mohd Fadzil)
Kesimpulannya, program SULAM bukan sahaja memberi manfaat dalam bidang akademik kepada para pelajar, tetapi juga menyumbang kepada perkembangan sosial dan ekonomi masyarakat di Kampung Jelintoh. Ini merupakan satu inisiatif yang membawa manfaat besar dan meluas, bukan hanya terbatas dalam konteks bilik darjah, tetapi juga memberi impak langsung kepada kehidupan harian masyarakat.