SHAH ALAM, 27 JULAI 2022 – Satu kolaborasi melalui kerjasama strategik antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Negara, Kementerian Pendidikan Malaysia telah berjaya menganjurkan Program STEM Street Kejuruteraan 2022 bertempat di Dewan Kuliah C, Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM Shah Alam.
Objektif penganjuran program ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan pemahaman berkenaan dengan bidang kejuruteraan dan prospek peluang dan pembangunan kerjaya dalam bidang tersebut. Ianya juga adalah usaha berterusan untuk menarik lebih ramai pelajar bumiputera untuk terlibat dalam bidang tersebut.
Program tersebut dihadiri seramai 200 orang yang terdiri dari Guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah sekitar Lembah Klang. Program ini turut bersiaran secara langsung di media sosial ‘Facebook’ Kolej Pengajian Kejuruteraan dan Pusat STEM Negara. Program tersebut telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM yang turut dihadiri oleh Prof. Sr. Ir. Dr. Hj. Suhaimi Abdul Talib, Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Kejuruteraan serta Tuan Haji Amberin Amin, Ketua Penolong Pengarah, Unit TVET, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor dalam ucapannya berkata, “Program ini memberi peluang kepada UiTM dalam melaksanakan misi akademik dan membina jaringan bersama pihak sekolah bagi memupuk kesedaran terhadap kepentingan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik dan juga sebagai usaha berterusan UiTM untuk menarik lebih ramai pelajar agar terlibat dalam bidang STEM.”
“Kewujudan program ini penting dalam usaha memacu negara ke arah negara maju, dan kerana UiTM mempunyai amanah yang besar dalam membangunkan modal insan dan bakat bumiputera agar boleh terus berdaya saing bukan sahaja di dalam negara tetapi diperingkat antarabangsa. Ini terbukti dengan pelbagai kejayaan yang telah dicapai oleh para pelajar, staf serta alumni UiTM. Malah, seorang alumni dari Pengajian Kejuruteraan Awam UiTM Shah Alam telah berjaya menjadi seorang jurutera dalam menjayakan pembinaan Menara Jam di Mekah, Arab Saudi”, sambung beliau.
Pelbagai program menarik dijalankan seperti contoh pengisian slot seperti Sesi Forum : Career Path in Engineering dan Sesi Diskusi : Success Story (Alumni UiTM) yang menampilkan pakar-pakar bidang kejuruteraan dan alumni UiTM yang telah berjaya dalam bidang kejuruteraan masing-masing.
Kerjasama strategik antara UiTM dan Pusat STEM Negara, Kementerian Pendidikan Malaysia ini adalah sangat bertepatan pada masa sekarang kerana ianya manifestasi dari hasrat negara untuk melahirkan lebih ramai pakar dan modal insan yang berjaya dalam bidang Sains & Teknologi (Kejuruteraan).