Program ‘Special Smile – Healthy Life’ gabung 4 Fakulti UiTM

Program ‘Special Smile - Healthy Life’ gabung 4 Fakulti UiTM

Sungai Buloh, 23 November 2019 – Fakulti Pergigian Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Sungai Buloh telah mengambil inisiatif untuk memberi peluang kepada para mahasiswa menjalankan aktiviti kemasyarakatan bersama Komuniti Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mengalami kecederaan saraf tunjang bertempat di Rumah Harapan Nur Aafiyah di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor.

OPKIM Perdana: ‘Special Smile-Healthy Life’ merupakan sebuah program anjuran Dental Student Association (DENSA) UiTM yang julung-julung kalinya telah menggabungkan empat (4) buah Fakulti UiTM Cawangan Selangor iaitu Fakulti Pergigian, Perubatan, Farmasi dan Sains Kesihatan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang, Yayasan Prihatin Insan dan GlaxoSmithKline (GSK) Consumer Healthcare Sdn. Bhd sebagai penaja utama. Seramai 61 orang mahasiswa UiTM yang terdiri daripada Fakulti Pergigian, Perubatan, Farmasi dan Sains Kesihatan; 12 orang pensyarah; dan 2 orang staf klinikal Fakulti Pergigian UiTM telah turut serta menjayakan Program ‘Special Smile – Healthy Life’ ini.

Program ‘Special Smile - Healthy Life’ gabung 4 Fakulti UiTM

Program ini juga adalah bersempena dengan Majlis Pelancaran ‘Sepurnama Ke Hari OKU Sedunia’ yang telah dirasmikan oleh YB Tuan Sivarasa Rasiah, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, merangkap Ahli Parlimen Sungai Buloh. Turut hadir ialah Tuan Sr Haji Ishak Bin Ismail, Pengerusi Yayasan Prihatin Insan; dan Profesor Dato’ Dr. Mohamed Ibrahim Abu Hassan, Dekan Fakulti Pergigian UiTM.

Rumah Harapan Nur Aafiyah adalah sebuah pusat latihan yang berkonsepkan bimbingan rakan komuniti OKU berkerusi roda yang mengalami kecederaan saraf tunjang (Spinal Cord Injury). Pusat ini diasaskan oleh Encik Nazri, dan dibimbing oleh isteri beliau, Puan Norazlina yang kedua-duanya juga adalah individu OKU. Terdapat 30 orang pesakit lumpuh berkerusi roda di Rumah Harapan Nur Aafiyah, yang beroperasi di bawah bantuan Yayasan Prihatin Insan.

Program ‘Special Smile - Healthy Life’ gabung 4 Fakulti UiTM

Tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk mengaplikasikan konsep penjagaan kesihatan holistik melalui kolaborasi inter-profesi (interprofessional collaboration), demi membantu golongan ini mencapai tahap kesihatan menyeluruh, di samping memberi pendedahan kepada pelajar Fakulti Pergigian, Perubatan, Sains Kesihatan dan Farmasi UiTM mengenai kepelbagaian skop pasukan penjagaan kesihatan pelbagai disiplin (multidisciplinary healthcare team).

Aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan sepanjang program ialah seperti pemeriksaan mata, fisioterapi dan terapi cara kerja oleh pelajar Fakulti Sains Kesihatan UiTM; pemeriksaan perubatan dan demonstrasi Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) oleh pelajar Fakulti Perubatan UiTM; serta pemeriksaan gigi dan demonstrasi penjagaan higin mulut oleh pelajar tahun 3 dan 4 Fakulti Pergigian UiTM.

Selain itu, pameran teknologi sains dan kesihatan mulut juga dikendalikan oleh pelajar Fakulti Pergigian UiTM, manakala pameran ubat-ubatan telah diadakan oleh pelajar Fakulti Farmasi UiTM. Aktiviti-aktiviti ini didapati berkesan dalam memberikan pendedahan kepada pelajar UiTM untuk berinteraksi dan mengendalikan pesakit OKU, di samping merapatkan hubungan di antara pelajar-pelajar pelbagai Fakulti yang terlibat di dalam program ini.