Program ‘Skuad Persekitaran 3S: Sihat, Selamat, Sejahtera’ Anjuran Jabatan Kesihatan Persekitaran UiTMCPP Kampus Bertam

Bertam, 5 Jun 2024 – Program Kesihatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) Kampus Bertam dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Bertam Perdana dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Utara telah menganjurkan Program Skuad Persekitaran 3S: Sihat, Selamat, Sejahtera.

Kehadiran pihak UiTMCPP Kampus Bertam telah disambut baik oleh Tuan Muhamad Sukri bin Abdul Karim, Guru Besar SK Bertam Perdana. Program ini telah dirasmikan oleh Ts. Dr. Mohamad Azhar bin Mohd Noor, Penolong Rektor UiTMCPP Kampus Bertam. Program ini melibatkan seramai 80 orang murid dan 6 guru daripada Kelab Doktor Muda dan Pengawas Denggi SK Bertam Perdana, 40 pelajar Diploma Kesihatan Persekitaran sebagai fasilitator, 6 orang tenaga akademik dan kakitangan UiTMCPP Kampus Bertam, serta 4 pegawai daripada PKD Seberang Perai Utara.

Objektif penganjuran program ini adalah untuk memberikan pendedahan, maklumat dan pengetahuan yang terkini tentang kesihatan persekitaran. Program promosi kesihatan yang dijalankan bersama PKD Seberang Perai Utara bertujuan bagi membantu murid mengenalpasti dan mengetahui dengan lebih mendalam unsur keselamatan dan kesihatan di persekitaran mereka. Melalui program promosi kesihatan ini juga, murid dapat mempraktikkan ilmu-ilmu berkaitan kesihatan persekitaran dan pembudayaan amalan hidup yang baik serta selamat yang telah dikongsikan dalam program ini.

Terdapat beberapa bahagian yang dijalankan semasa Program Skuad Persekitaran 3S berlangsung iaitu perkongsian berkaitan kesihatan persekitaran, penyakit berjangkit bawaan nyamuk dan keselamatan dalam pemilihan makanan sihat dan selamat oleh Pengajar Klinikal Jabatan Kesihatan Persekitaran dan para fasilitator, perkongsian berkaitan penyakit HIV dan AIDS oleh penceramah jemputan daripada PKD Seberang Perai Utara, serta pameran dan demonstrasi makmal oleh fasilitator. Program telah berlangsung dengan jayanya dan mendapat sambutan baik daripada pelajar-pelajar SK Bertam Perdana.