Program Sinergi & Serasi Pensyarah KPPIM UiTM Cawangan Pahang

Program Sinergi & Serasi Pensyarah KPPIM UiTM Cawangan Pahang ini merupakan inisiatif Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik, (KPPIM), UiTM Cawangan Pahang. Program ini telah berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang pada 5 Mac 2024 (Selasa) bermula 10 pagi sehingga 1 tengahari di Bilik Latihan Staf UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka. Program ini merupakan satu program perbincangan antara Ketua Pusat Pengajian (KPP) dan semua pensyarah KPPIM UiTM Cawangan Pahang berhubung perihal halatuju dan perancangan strategik KPPIM bagi tahun 2024.

Objektif program ini adalah seperti berikut:

  1. Perbincangan antara Ketua Pusat Pengajian dengan semua pensyarah KPPIM UCPh berhubung perihal halatuju dan perancagan strategik KPPIM UCPh bagi tahun 2024.
  2. Memberi penerangan dengan lebih terperinci mengenai Petunujuk Prestasi (PI) yang diturunkan kepada KPPIM UCPh.
  3. Mewujudkan ruang dan peluang untuk pensyarah KPPIM UCPh mengemukakan sebarang persoalan dan pertanyaan terutamanya kaedah pelaksanaan 3 minggu sesi perkuliahan yang akan dilaksanakan secara atas talian.
  4. Merupakan platform ramah mesra antara pensyarah KPPIM UCPh Kampus Jengka dan UCPh Kampus Raub sebelum sesi perkuliahan bermula.

Pensyarah KPPIM UCPh Kampus Raub bertolak dari UiTM Raub seawal jam 8.00 pagi dengan menggunakan bas UiTM UCPh Kampus Raub dan tiba di UiTM UCPh Kampus Jengka pada jam 9.50 pagi. Jumlah pensyarah KPPIM UCPh yang hadir ke program ini adalah seramai 44 pensyarah dari Kampus Raub dan Kampus Jengka. 14 pensyarah tidak dapat hadir kerana ada yang cuti sakit, mengerjakan umrah dan menghadiri kursus di ILD. Program dimulakan dengan amanat dan perkongsian oleh Ketua Pusat Pengajian (KPP) KPPIM UCPh, Dr Juhaida Ismail. Beliau menerangkan berkenaan dengan kaedah pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran untuk 3 minggu awal yang akan dilaksanakan secara atas talian. Beliau juga berkongsi berkenaan dengan hala tuju KPPIM UCPh dan pencapaian Petunjuk Prestasi (PI) KPPIM UCPh untuk tahun 2023. Para pensyarah tidak melepaskan peluang untuk bertanya soalan dan memberi cadangan kepada KPP.

  

 

Seterusnya, KPPIM UCPh telah menjemput PM. Dr. Nor Azizah M. Yacob selaku Penyelaras Strategik dan Transformasi Universiti (PSTU) UiTM Cawangan Pahang bagi menerangkan dengan lebih terperinci berkenaan PI dan berkongsi mengenai pencapaian PI untuk tahun 2020 – 2023. KPPIM juga turut menjemput Dr. Siti Aishah Abdul Aziz, Penyelaras Penerbitan, Research Excellence Unit (REU) PJI UiTM Cawangan Pahang bagi menerangkan lebih lanjut mengenai peluang dan ruang untuk penerbitan. KPPIM UCPh mengambil kesempaan ini untuk memberikan penghargaan kepada 11 pensyarah dari Kampus Raub dan Jengka yang banyak membantu KPPIM UCPh sebelum ini. Program diteruskan dengan sesi perkenalan diri oleh pensyarah-pensyarah baharu.

Program diakhiri dengan sesi ramah mesra, sesi bergambar serta jamuan makan. Secara tidak langsung, hal ini dapat merapatkan hubungan di antara pensyarah baharu, pensyarah UCPh Kampus Jengka dan Kampus Raub. Hubungan baik di kalangan pensyarah KPPIMUCPh akan menggalakkan kolaborasi dalam aktiviti penerbitan, penyelidikan, komuniti dan tugas-tugas hakiki yang lain.

Diharapkan program ini dapat memberikan impak positif serta penjelasan kepada semua pensyarah berkenaan hala tuju serta petunjuk prestasi yang diturunkan kepada KPPIM UPCh. Diharapkan juga, program yang telah dijalankan ini dapat membantu meningkatkan kesefahaman dan semangat pasukan di kalangan pensyarah KPPIM UiTM Cawangan Pahang. Semoga program ini menjadi titik tolak kepada pencapaian yang lebih cemerlang buat warga KPPIM seterusnya UiTM Cawangan Pahang