Program Sesuci Kasih Ramadhan Siri 9 (2021)

27 April 2021: Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan (PPPG), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka telah mengadakan sebuah Program Sesuci Kasih Ramadhan Siri 9 (2021) pada 28 April 2021 bertempat di Balai Budaya UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka. Program ini merupakan acara tahunan bagi PPPG dalam usaha untuk menghidupkan bulan Ramadhan yang mulia seperti sabda Rasullullah S.A.W. “Barangsiapa yang menghidupkan bulan Ramadhan dalam keadaan keimanan dan penuh mengharapkan ganjaran daripada Allah S.W.T., maka diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu”.

Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia, Prof. Ts. Dr. Mohd Ilham bin Adenan, Rektor, UiTM Cawangan Pahang. Program ini turut dihadiri oleh Puan Suhaila Mat Ali mewakili Prof. Madya Dr. Hajah Nazirah binti Ramli, Timbalan Rektor, Hal Ehwal Akademik, Dr. Haji Mohd Kamal Azman bin Jusoh, Timbalan Rektor, Hal Ehwal Pelajar dan Prof. Madya Dr. Wan Mohd Nazri bin Wan Abdul Rahmah, Timbalan Rektor, Penyelidikan dan Jaringan Industri dan Encik Mohd Azizul Sulaiman, Koordinator Korporat. Turut hadir bagi menjayakan program ini adalah Encik Suhaiza bin Zainal Abidin, Guru Besar, Sekolah Kebangsaan Felda Jengka 11 bersama En. Yusri bin Asmara, Guru Penolong Kanan Pentadbiran, En. Kamarulzaman bin Usop, Yang Dipertua PIBG, En. Khairul Anuar bin Alias, Pengerusi JKKK Jengka 11 / Tok Empat.


Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk berkongsi rezeki kepada mereka yang memerlukan iaitu golongan asnaf dan fakir miskin. Antara sumbangan yang telah disampaikan ialah wang ringgit dan keperluan asas sebagai persediaan menghadapi perayaan yang akan disambut tidak lama lagi. Bagi merealisasikan hasrat murni ini, seramai 10 orang pelajar SK Felda Jengka 11 daripada keluarga berpendapatan kurang daripada RM500.00 telah dipilih. Dalam konteks ini, setiap pelajar telah menerima satu set ‘Bakul Rezeki’ yang diedarkan oleh wakil PPPG ke rumah masing-masing di Felda Jengka 11.

Program ini dilihat dapat memupuk semangat dan sikap suka bersedekah bukan sahaja dalam kalangan warga PPPG malahan seluruh warga UiTM Cawangan Pahang yang secara tidak langsung melahirkan sifat mensyukuri rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T. dengan jalan sedekah. Semoga program yang bermanfaat ini dapat terus dijalankan pada masa akan datang.