Program Sesuci Kasih Ramadhan Sebening Syawal (SKRSS) 2024 Telah Melakar Penganjuran Tahun Ke-15

Pada Ramadhan yang baru berlalu, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi (PPPT), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka telah melakar sejarah apabila telah berjaya menganjurkan program Sesuci Kasih Ramadhan Sebening Syawal (SKRSS) 2024 untuk tahun yang ke-15.  Program tahunan PPPT kali ini telah berjaya dilaksanakan pada 2 April 2024,  bersamaan 22 Ramadhan 1445H.   Pusat pengajian telah mensasarkan 30 keluarga di kalangan asnaf dan fakir miskin yang berada di sekitar Bandar Jengka.

Pusat pengajian ini telah menerima sumbangan ikhlas yang merupakan barangan keperluan untuk menyambut Syawal daripada individu persendirian dan juga daripada pensyarah PPPT, UiTM Cawangan Pahang sendiri.

YBrs Prof. Madya Dr. Nazirah Ramli, Timbalan Rektor HEA mewakili Timbalan Rektor PJI (Menjalankan Fungsi Rektor) telah menyempurnakan Majlis Perasmian dengan disaksikan oleh barisan JKEN dan pensyarah PPPT.  Sejurus majlis perasmian program dan taklimat ringkas berhubung pergerakan konvoi ke rumah-rumah penerima sumbangan, beliau juga telah sudi untuk melakukan  majlis pelepasan konvoi yang telah bersedia untuk membawa kotak-kotak sumbangan ke tiga lokaliti iaitu Rantau Perintis, Taman Jengka Impian dan Taman Jengka Indah.

Semoga inisiatif, usaha dan sumbangan dari para pensyarah PPPT untuk berkongsi rezeki dengan para asnaf ini memperoleh ganjaran rezeki seperti air sungai yang mengalir tanpa putus serta pahala yang besar daripada Allah SWT.   Diharap program ini juga dapat merapatkan ukhwah islamiah di kalangan para pensyarah PPPT dengan komuniti setempat yang berpanjangan.