Program Sesi Perkongsian : Teknik Belajar

Rentetan daripada pandemik Covid-19, para pelajar berdepan dengan proses pengajaran dan pembelajaran secara Open and Distance Learning (ODL). Hal ini merupakan perkara baru kepada pelajar dan mereka perlukan bimbingan untuk mengetahui bagaimana cara yang terbaik untuk meneruskan pembelajaran di rumah dan pada masa yang sama dapat mengekalkan momentum akademik mereka.

Pihak Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) UiTM Cawangan Pahang (UCPh), Kampus Jengka dengan kerjasama Planters’ Guild (PGs) telah mengambil inisiatif untuk mengadakan webinar bertajuk “Sesi Perkongsian: Teknik Belajar” pada 23 April 2021 menggunakan platform Google Meet. Program ini dijayakan dengan bimbingan Penasihat Program iaitu Cik Nurulatika Minhad bersama ahli PGs yang lain yang diketuai oleh Ariff Zakwan bin Hamsul Bahari selaku Pengarah Program.

Tujuan utama program ini adalah untuk membantu mahasiswa menjalani sesi pembelajaran dengan lebih bersedia. Mahasiswa bukan sahaja memperoleh manfaat dari segi pengetahuan tentang akademik malah mereka dapat membina keyakinan dan mengenal potensi diri dalam menghadapi pembelajaran menerusi ODL. Selain itu, melalui perkongsian ini, peserta dapat mempelajari teknik terbaik untuk menghadapi tekanan serta menggunakan kaedah pembelajaran yang berkesan di rumah.

Program ini merupakan satu program perkongsian ilmu yang mendedahkan teknik atau cara-cara belajar dengan lebih efektif kepada mahasiswa. Penceramah jemputan bagi program ini ialah Cik Nur Izzati Athirah binti Ismail, pelajar Diploma Pengurusan Ladang (AT110) UiTM Jengka yang baru sahaja menamatkan pengajian dan sedang melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Perniagaantani di UiTM Melaka, Kampus Jasin. Beliau dipilih sebagai penceramah jemputan kerana beliau merupakan calon Anugerah Naib Canselor. Selain mempunyai pencapaian akademik yang sangat cemerlang, beliau juga berperibadi unggul yang boleh dijadikan contoh kepada mahasiswa yang lain.

Penceramah berkongsi banyak ilmu dan tips-tips kecemerlangan bersama pelajar. Berlaku interaksi dua hala di mana para peserta mengajukan soalan berkaitan topik kepada penceramah dan sesi dijalankan dengan sangat lancar. Beliau juga turut berkongsi cara-cara pengurusan masa yang baik disamping menekankan unsur kerohanian dalam diri pelajar. Perkongsian ini dapat meningkatkan motivasi para pelajar dalam berdepan cabaran pembelajaran secara ODL.

Sustainable Development Goals (SDG) yang dapat dikaitkan dengan program ini adalah Quality Education kerana dengan mempunyai pendidikan yang berkualiti, ia dapat memberi manfaat kepada individu tersebut dan kepada orang sekeliling. Diharapkan program ini bermanfaat kepada para pelajar yang terlibat dan berjaya meningkatkan pencapaian pelajar FPA khususnya.