Tapah, 29 Oktober 2024 – Program Sesi Perbincangan bersama Pensyarah AS120 serta Promosi Kemasukan ke Ijazah Sarjana Muda Fakulti Sains Gunaan (FSG), UiTM Shah Alam telah berlangsung dengan jayanya di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) dan di Greenhouse UiTM Cawangan Perak, Kampus Tapah.
Program ini berlangsung seawal jam 9.00 pagi bertempat di Bilik Pandang Dengar, (PTAR) telah melibatkan seramai 38 orang pensyarah. Perbincangan ini merupakan satu langkah yang menyokong usaha kolaboratif di antara para pensyarah dari dua cawangan yang berbeza. Melalui sesi perkongsian maklumat ini, pensyarah diasingkan melalui tiga bidang berbeza iaitu Kimia, Fizik dan Biologi bagi membincangkan permasalahan pelajar yang dihadapi, melontarkan idea-idea untuk memantapkan program sedia ada serta langkah penyelesaian bagi sesuatu permasalahan. Kata sebulat suara ini amat penting untuk diusulkan pada sesi semakan kurikulum AS120 yang akan datang.
Bagi sesi petang pula, satu taklimat serta promosi kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda, FSG UiTM Shah Alam telah berlangsung selama tiga jam bermula pada jam 2.00 petang bertempat di Greenhouse. Lebih kurang 250 orang pelajar dari semester akhir mengikuti program ini bagi mendengar taklimat berkaitan syarat-syarat kemasukan ke program yang ditawarkan serta hala tuju kerjaya dalam bidang yang berkaitan.
Antara program yang diberi taklimat dan promosi untuk sesi ini adalah dari Pusat Pengajian Fizik dan Bahan seperti Ijazah Sarjana Muda Sains Fizik (Kepujian) (AS213), Ijazah Sarjana Muda Teknologi Sains Bahan dengan Kepujian (AS270) dan Ijazah Sarjana Muda Fizik Industri (Kepujian) (AS271). Manakala dari Pusat Pengajian Kimia pula adalah Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi Higiene Industri dan Keselamatan (AS239), Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia (Kepujian) (AS242), Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Persekitaran dengan Kepujian (AS249), Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia Gunaan dengan Kepujian (AS265) dan Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia (Analisis Forensik) dengan Kepujian (AS273). Pusat Pengajian Biologi menawarkan Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi (Kepujian) (AS211) dan Ijazah Sarjana Muda Sains Biomolekul (Kepujian) (AS264). Pengajian Teknologi Industri pula menawarkan empat program iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Eko-Teknologi (AS258), Ijazah Sarjana Muda Teknologi Tekstil dan Pakaian dengan Kepujian (AS260), Ijazah Sarjana Muda Teknologi Polimer Kejuruteraan dengan Kepujian (AS263) dan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Makanan dengan Kepujian (AS266). Maklumat lanjut berkaitan syarat kemasukan, pengecualian kredit serta laluan kerjaya lepasan program juga turut diterangkan dengan lebih mendalam.
Langkah promosi ini sedikit sebanyak telah menyalurkan maklumat kepada para pelajar dalam membuat keputusan bagi pemilihan program ke peringkat pengajian yang lebih tinggi serta dapat menyuntik semangat serta minat mereka ke arah bidang Sains,Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Diharapkan permintaan kemasukan ke Program Ijazah Sarjana Muda FSG UiTM Shah Alam pada semester hadapan akan meningkat secara khusus dan sedikit sebanyak membantu meningkatkan jumlah pelajar yang mengikuti bidang STEM di seluruh negara secara amnya Melalui sesi taklimat ini juga, para pelajar didedahkan dengan laluan kerjaya berkaitan program yang ditawarkan. Justeru, mereka dapat membuat persediaan yang lebih awal dari segi permohonan kemasukan, persiapan fizikal, mental mahupun emosi.
Penulis utama:Siti Norhayati binti Mohamad Tarmizi
Penulis Bersama:
- Rabiatul Adawiyah Abdul Wahab
- Nurul Aimi binti Zakaria