Program Seni Halus UiTM Perak Tingkatkan Kompetensi Seni Visual Pelajar STPM

Seri Iskandar, 22 Ogos 2024 – Program Seni Halus dengan kerjasama Misi Akademik UiTM Perak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Jalil, Mersing, Johor telah menganjurkan satu program akademik berimpak tinggi bertajuk “Modul Penghasilan Karya Seni Visual Menerusi Teknik Kolaj: Bencana Alam Akibat Perbuatan Manusia.” Program yang diadakan di CS009, Kolej Pengajian Seni Kreatif, Kampus Seri Iskandar, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak ini berlangsung dari jam 8 pagi hingga 1 petang, melibatkan 35 orang pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bersama 4 orang guru pengiring.

Objektif utama program ini adalah untuk memperkukuh pengetahuan dan kemahiran pelajar STPM dalam Seni Visual, khususnya dalam teknik kolaj yang menjadi fokus kepada soalan tumpuan dalam peperiksaan STPM. Menerusi bimbingan berstruktur daripada tenaga akademik berpengalaman, pelajar dijangka dapat meningkatkan kualiti karya seni visual mereka, sekali gus memperkasa prestasi akademik dalam kursus ini.

Program ini dikendalikan oleh barisan fasilitator yang terdiri daripada En. Muhammad Abdullah, En. Hazrul Mazran, Dr. Siti Ermi Syahira Abdul Jamil, Puan Nurul Shima Taharuddin, dan Puan Siti Hajar Maizan. Kepakaran pensyarah dalam bidang seni halus telah memberi impak besar kepada pelajar, melalui sesi interaktif dan praktikal yang disampaikan dengan penuh profesionalisme.

Pelaksanaan program ini juga selaras dengan matlamat strategik UiTM Perak dalam memenuhi Key Performance Indicator (KPI) Program Seni Halus. Melalui program ini, UiTM Perak berjaya memperkukuh jalinan kerjasama dengan institusi pendidikan lain di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, sekali gus memperluas capaian dan jaringan akademik dalam kalangan komuniti pendidikan.

Keseluruhan program ini telah menunjukkan kejayaan yang signifikan melalui kerjasama akademik dengan maklum balas positif daripada pelajar dan guru pengiring. Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan komitmen UiTM Perak dalam memajukan bidang pendidikan seni, tetapi juga memperlihatkan potensi kerjasama strategik yang boleh terus diperkasa untuk manfaat bersama pada masa hadapan.