PUNCAK ALAM, Januari 2025 – Pusat Pengajian Fisioterapi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam baru-baru ini telah menganjurkan satu program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan memberikan pengetahuan berkaitan kesihatan ibu hamil. Program yang dinamakan Senaman Antenatal ini dijalankan dengan kerjasama Pantai Integrated Rehab (PIR) dan penajaan dari Physiogo Sdn Bhd, Cikbee dan PIR. Program yang berlangsung di Pusat Fisioterapi UiTM Puncak Alam, telah diadakan dalam tiga sesi, bermula pada November 2024 dan berakhir pada Januari 2025 yang melibatkan seramai 20 orang peserta, terdiri daripada ibu hamil bersama pasangan mereka.
Program Senaman Antenatal ini bertujuan untuk menyediakan platform pendidikan kepada ibu hamil mengenai pentingnya menjaga kesihatan fizikal sepanjang tempoh kehamilan. Dengan bantuan para pakar fisioterapi yang terdiri daripada para alumni UiTM, peserta telah diajar tentang teknik senaman yang sesuai dan selamat untuk ibu hamil. Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada pasangan ibu hamil untuk turut serta dalam sesi senaman, yang bukan sahaja membantu para ibu untuk mengekalkan kecergasan tubuh, tetapi juga memperkukuh hubungan sokongan antara ibu dan pasangan semasa proses kehamilan.
Pada sesi terakhir yang berlangsung pada 4 Januari 2025, beberapa ceramah dan demonstrasi telah dijalankan untuk membantu para peserta mempersiapkan diri mereka untuk proses kelahiran. Puan Hasanah Bari, seorang pakar Fisioterapi dalam bidang kesihatan wanita, telah menyampaikan ceramah mengenai persediaan bersalin. Beliau turut berkongsi cara meningkatkan hormon endorphin yang bertindak sebagai penahan sakit semulajadi ketika proses bersalin.
Ceramah seterusnya disampaikan oleh Puan Sharfiza, seorang fisioterapi pediatrik yang telah mengadakan demonstrasi urutan bayi. Demontrasi ini memberi pengetahuan kepada ibu bapa tentang teknik urutan yang boleh dilakukan selepas kelahiran untuk membantu perkembangan fizikal bayi, selain memberi keselesaan kepada bayi. Sesi ini mendapat sambutan yang sangat positif daripada para peserta.
Puan Zilati Abdullah, fisioterapis daripada Pantai Integrated Rehab (PIR), telah memberi tunjuk ajar tentang teknik pernafasan yang betul semasa proses bersalin. Beliau menerangkan bagaimana teknik pernafasan yang betul boleh membantu ibu mengawal kesakitan semasa proses kelahiran serta meningkatkan oksigenasi untuk ibu dan bayi. Teknik-teknik yang diajar ini termasuklah pernafasan diafragma dan teknik pernafasan pendek yang boleh digunakan semasa proses kelahiran.
Majlis penutup program ini disempurnakan oleh Dr. Ida Hasni, Ketua Pusat Pengajian Fisioterapi UiTM Puncak Alam. Beliau mengucapkan tahniah kepada semua ibu dan pasangan yang telah hadir dengan penuh komitmen sepanjang program ini. Beliau juga meluahkan setingi-tinggi penghargaan kepada ahli jawatankuasa program yang diketuai oleh Dr. Nur Farhana Binti Md Yunus serta kepada semua penaja program yang telah memberikan sokongan padu.
Dr. Ida Hasni berkata, “Sebagai wakil pusat pengajian Fisioterapi, kami amat berbangga kerana sedikit sebanyak dapat berkongsi ilmu berkaitan senaman antenatal bersama komuniti. Saya berharap lebih ramai lagi orang di luar sana akan menyedari kepentingan senaman antenatal kepada ibu hamil.”
Program diakhiri dengan penyampaian cenderahati dan sesi fotografi. Dengan kejayaan program Senaman Antenatal ini, pihak penganjur berharap agar ia dapat memberi impak positif kepada masyarakat dalam meningkatkan kesedaran tentang pentingnya penjagan kesihatan ibu hamil. Program ini juga diharapkan dapat menjadi contoh terbaik dalam memperkasa golongan ibu hamil dengan ilmu pengetahuan mengenai cara-cara yang betul untuk menjaga kesihatan diri dan bayi sepanjang tempoh kehamilan dan bersalin.
Puan Nursakinah Latifi, salah seorang peserta, berkata, “Saya dapat banyak ilmu baru, terutamanya tentang senaman. Saya tidak pernah tahu bahawa ibu hamil boleh bersenam dan aktif. Setelah menghadiri kelas antenatal, saya sudah mengubah gaya hidup untuk bersenam dengan cara betul tanpa bimbang akan keselamatan bayi dalam kandungan. Saya rasa lebih sihat selepas bersenam”.
“Disebabkan saya adalah ibu baru, program ini amat bermanfaat dan saya berharap dapat menyertai lagi pada masa hadapan”, merupakan maklum balas oleh Puan Umi Najibah, yang turut menyertai program Senamam Antenatal.
Keberhasilan program ini juga menjadi satu pengiktirafan kepada Pusat Pengajian Fisioterapi UiTM Puncak Alam dalam memainkan peranan penting sebagai institusi pendidikan yang tidak hanya memberi ilmu kepada pelajar, tetapi juga memberi manfaat kepada masyarakat melalui aktiviti-aktiviti Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) yang dilaksanakan.
Dengan berakhirnya program ini pada bulan Januari 2025, pihak penganjur berharap dapat meneruskan usaha-usaha ini dengan lebih banyak program berkaitan kesihatan ibu dan bayi yang memberi manfaat pada masa depan. Semoga kerjasama ini dapat memperkukuhkan lagi hubungan antara universiti, masyarakat, dan industri, serta terus memberi impak positif kepada kesihatan awam di Malaysia.
Ditulis oleh: Muhammad Amirul Haqiim bin Alias
Jurupulih Perubatan (Fisioterapi) U5