Program Sekolahku Universitiku: ‘Service Learning – University For Society’ (Sulam@UiTM)

PROGRAM SEKOLAHKU UNIVERSITIKU: SERVICE LEARNING – UNIVERSITY FOR SOCIETY (SULAM@UiTM) DI SEKOLAH KEBANGSAAN KAMPONG BANTING, SABAK BERNAM SELANGOR

Pada 18 hingga 20 Disember 2020 dan 8 hingga 10 Januari 2021, seramai 30 orang pelajar bagi silibus Kursus Kokurikulum Khidmat Komuniti (HPD133) dan sukarelawan siswa ‘Smart Perindu Volunteerism’ Kolej Kediaman perindu UiTM Shah Alam telah menjalankan program kesukarelawanan di Sekolah Kebangsaan Kampong Banting, Sabak Bernam, Selangor. Program yang di beri nama Sekolahku, Universitiku ini adalah merupakan program khas di bawah Kementerian Pengajian Tinggi melalui Program Service Learning – University For Society (SULAM).

Menurut Encik Ku Hadzrill Jeeffry Ku Hamzah yang merupakan penasihat program SULAM pada kali ini berkata Program ini bertujuan untuk mengenengahkan kemahiran dan ilmu yang terdapat dalam diri mahasiswa untuk berbakti semula kepada masyarakat. Sukarelawan siswa yang terdiri daripada pelajar UiTM ini mempunyai latar belakang pengajian yang berbeza seperti pelajar pengajian pengurusan taman dan landskap, pelajar Program Pendidikan Seni dan Seni Reka, pelajar Sains Komputer dan matematik, Sains Gunaan dan sebagainya. Pengalaman dan kemahiran yang dipelajari di universiti diterapkan dan dikongsi kepada masyarakat.

Selain itu, program ini juga di buat adalah bertujuan untuk memperbaiki infrastruktur dan menceriakan kawasan landskap sekolah agar lebih tersusun dan praktikal. Kolaborasi bersama Fakulti Pendidikan, UiTM Kampus Puncak Alam dan Fakulti Seni Bina Perancangan dan Ukur, UiTM Shah Alam menjadikan program ini lebih menarik dengan pelbagai idea dan kepakaran dapat di satukan bagi memastikan matlamat program tercapai.

Sementara itu, diharapkan agar para murid sekolah akan lebih bersemangat untuk meneruskan aktiviti persekolahan selepas para murid dibenarkan kembali ke sekolah. Persekitaran yang ceria dan menarik dapat mendorong para murid untuk lebih bersungguh – sungguh dalam menuntut ilmu. Sebagai contoh penghasilan mural bertemakan flora dan fauna di lukis di dinding kantin sekolah bertujuan bagi  mewujudkan suasana harmoni dan ceria di kawasan tersebut. Dengan pemilihan  warna pastel menjadikan kantin sekolah kelihatan lebih tenang dan sudah pasti menjadi tumpuan kepada warga dan pelawat yang datang ke sekolah.

Selain itu transformasi imej dan infrastruktur bangunan JQAF sekolah yang dahulunya kelihatan suram kini nampak lebih ceria dengan konsep moden yang diterapkan dalam pemilihan perabot termasuk kerusi dan meja bagi mewujudkan suasana yang lebih kondusif dan tenang. Warna pastel dengan konsep monokrom menjadikan bangunan berwajah baharu dan tidak usang. Aktiviti seperti ini dapat membantu menaikkan imej pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) umumnya dan UiTM khasnya yang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran malah mampu berbakti kepada masyarakat setempat.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebenarnya telah diberikan amanah dan tanggungjawab untuk melaksanakan program di dua buah sekolah iaitu di Sekolah Kebangsaan Ayer Limau, Masjid Tanah, Melaka dan Sekolah Kebangsaan Kampong Banting, Sabak Bernam, Selangor. Untuk tujuan perancangan dan pelaksanaan ini, Pusat Kokurikulum UiTM telah dipertanggungjawabkan untuk menjalankan program di Sekolah Kebangsaan Kampong Banting manakala UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin pula menjalankan program di Sekolah Kebangsaan Ayer Limau.

Ucapan ribuan terima kasih di ucapkan kepada Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) kerana memberi peluang kepada UiTM khususnya bersama-sama Universiti Awam (UA) yang lain dalam melaksanakan Program Sekolah Kolaborasi Universiti (SekolahKU) ini. Semoga program yang telah di laksanakan dapat membentuk jati diri dan personaliti unggul para sukarelawan siswa yang terlibat.  Aktiviti dan program kesukarelawanan, pemulihan dan penambahbaikan, keceriaan, pembangunan karektor dan lain-lain aktiviti di sekolah seperti ini perlu diteruskan dalam menjayakan aspirasi dan hasrat KPT.

Meskipun keadaan pandemik COVID-19 sekarang, program ini dijalankan mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Penjarakan fizikal, penggunaan pelitup muka dan mengelakkan berkumpul secara beramai-ramai sentiasa diamalkan bagi memastikan keselamatan para pelajar dan sukarelawan yang terlibat di dalam program ini terhindar daripada jangkitan COVID-19. Aktiviti yang dijalankan ini juga tidak melibatkan para murid sekolah.