Permatang Pauh, 21 Ogos 2024 – Jabatan Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pulau Pinang dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Kubor Panjang, Alor Setar, Kedah, telah berjaya menganjur program khidmat tanggung jawab university bertemakan “Sehari Menjadi Mahasiswa” pada 10 Julai 2024 yang lalu.
Program ini bertujuan memberi impak positif kepada komuniti bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya pendidikan tinggi, memberi inspirasi dan motivasi kepada pelajar, serta membentuk pemimpin masa depan. Program ini juga membantu mengurangkan jurang sosial dengan memberi peluang kepada pelajar dari pelbagai latar belakang untuk merasai pengalaman di university serta mendorong pembangunan komuniti yang lebih progresif dan dinamik.
Seramai 35 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kubor Panjang, Alor Setar, Kedah telah menyertai program ini. Selain sesi pengkongsian motivasi diri, aktiviti yang dijalankan di dalam program ini termasuklah sesi melawat kemudahan yang disediakan di dalam kampus seperti stress free zone, dapur kolej, mesin IPR Nilam, pusat islam, perpustakaan dan pejabat Jabatan Pengurusan dan Perniagaan.
Disamping memberi manfaat kepada pelajar dan komuniti, program “Sehari Menjadi Mahasiswa” ini dapat memperkukuhkan reputasi UiTM Cawangan Pulau Pinang sebagai sebuah institusi Pendidikan tinggi yang komited dalam memupuk pendidikan dan inspirasi di kalangan generasi muda. Melalui program ini, UiTM Cawangan Pulau Pinang dapat memperlihatkan fasiliti yang disediakan dan kualiti pendidikannya, sekaligus menarik minat lebih ramai pelajar berpotensi untuk menyertai universiti ini pada masa hadapan.
Penulis bersama: Nor Fadzilah Zainal, Siti Nur Fathini Muhsain, Mohd Sukor MD Yusoff, Nor Hidayah Harun