Program Sahsiah Muttaqin Pupuk Nilai Kemasyarakatan Dikalangan Pelajar UCS

Puncak Alam, 29 Jun 2024 – Unit Hal Ehwal Islam UiTM Cawangan Selangor (UCS) dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor, Permuafakatan Persatuan Penduduk Puncak Alam, Masjid Puncak Alam dan Unit Pengurusan Kolej Non Residen berjaya menganjurkan Program Sahsiah Muttaqin Siri.1/2024 dengan disertai seramai 100 orang pelajar.

Program ini bertujuan memberi pendedahan tentang ciri-ciri peribadi mulia berpandukan sahsiah muttaqqin yang perlu dihayati dan diamalkan oleh mahasiswa, memupuk semangat kebersamaan dalam melaksana tanggungjawab ke arah Amal Makruf Nahi Mungkar. Selain itu, ia bertujuan untuk memberi bimbingan kepada pelajar tentang sensitiviti hidup bermasyarakat dan semangat kejiranan yang penuh dengan budaya dan adab sopan yang perlu dijaga demi menjaga nama UiTM.

Program dimulakan dengan sesi perkongsian daripada Ustaz Muhammad Azlan Md Aris, Penolong Pendaftar Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Cawangan Pahang, Kampus Jengka dengan topik Membina Sahsiah Muttaqin. Program seterusnya diserikan dengan sesi dua hala perkongsian maklumat daripada Permuafakatan Persatuan Penduduk Puncak Alam dan diakhiri dengan slot perkongsian oleh Ustaz Shahadan Idrus, Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Agama Islam Selangor dengan topik Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Selangor.

Hadir merasmikan program adalah YBrs. Profesor Madya Sr. Dr. Rosmadi Ghazali, Timbalan Rektor, Bahagian Hubungan Industri, Komuniti, Alumni dan Keusahawanan (iCARE), mewakili Rektor UiTM Cawangan Selangor. Tahniah kepada Unit Hal Ehwal Islam dan rakan kerjasama, staf dan pelajar yang terlibat. Moga kebersamaan dalam menjayakan program seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang.