SEREMBAN, 9 Januari 2025 – Program “Roundtable Discussion on Mangrove Conservation” diadakan secara atas talian di bawah kod kursus EVA515 (Environmental Regulations and Advocacy) anjuran pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (BEVA) dengan bimbingan Dr. Devika Krishnan sebagai penasihat program. Program ini menerima sambutan positif daripada pelajar antarabangsa dan universiti luar, termasuk University Malaya, École Nationale Supérieure Industrie Chimique, dan Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara.
Program ini bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar tentang pentingnya pemuliharaan ekosistem paya bakau dan menjadi platform pertukaran pandangan serta maklumat antara peserta. Dengan ini, pelajar dapat memperluas pengetahuan mereka mengenai usaha pemuliharaan ekosistem paya bakau di Malaysia serta perspektif antarabangsa.
Program ini dijalankan dalam dua sesi, iaitu sesi perkongsian oleh Dr. Devika Krishnan mengenai pemuliharaan ekosistem paya bakau dan sesi perbincangan meja bulat antara pelajar semester 4 BEVA bersama pelajar luar negara. Pelbagai maklumat dan pengetahuan yang berguna diperoleh, terutamanya berkaitan kepentingan pemuliharaan ekosistem paya bakau.
Selain itu, program ini menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), khususnya dalam pemuliharaan biodiversiti marin (SDG 14) dan pemuliharaan ekosistem daratan (SDG 15). Para peserta didedahkan kepada isu-isu semasa mengenai ekosistem paya bakau serta langkah-langkah yang perlu diambil untuk memastikan kelestarian ekosistem tersebut pada masa akan datang. Penekanan ini penting bagi membentuk generasi muda yang peka terhadap isu alam sekitar.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) UiTM Kampus Seremban dalam mendidik dan melahirkan pemimpin yang peka terhadap isu-isu alam sekitar. Program ini diharap dapat memperkukuh nilai pemeliharaan alam dalam kalangan pelajar dan memupuk pemahaman tentang hubungan antara alam semula jadi dan manusia untuk kesejahteraan bersama.
Penulis bersama : Muhammad Azfar Razin Mohd Haniff, Devika Krishnan