Kepala Batas, 25 Jun 2024 – Program “REPAPER” yang dianjurkan oleh mahasiswa Sarjana Muda Pengajian Kejuruteraan Kimia (Persekitaran) semester 4, UiTM Cawangan Pulau Pinang, berlangsung dengan jayanya di Dewan Besar Pusat Latihan KEMAS Kepala Batas. Program ini mendapat kerjasama penuh daripada KEMAS dan Pusat Khidmat YB Dato’ Seri Reezal Merican ADUN Bertam, dengan tujuan meningkatkan kesedaran tentang penggunaan semula kertas dan impaknya terhadap alam sekitar menerusi pendekatan SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society).
Majlis perasmian disempurnakan oleh En. Hilmi, pegawai khas ADUN BERTAM, wakil kepada YB Dato’ Seri Reezal Merican, disaksikan oleh pihak pengurusan KEMAS serta guru-guru dan pelajar-pelajar dari TASKA/TADIKA KEMAS Permatang Manggis. Program bermula seawal jam 8.30 pagi dengan ucapan perasmian, bacaan doa, dan nyanyian lagu Negaraku serta Pulau Pinang.
Lebih daripada 30 pelajar dan 5 orang guru terlibat dalam pelbagai aktiviti interaktif yang telah dirancang dengan teliti untuk menarik minat pelajar terhadap isu alam sekitar. Antara aktiviti utama ialah pembelajaran mengenai cara mengurangkan penggunaan karbon melalui penggunaan semula kertas terpakai untuk menghasilkan peralatan pendidikan seperti pensil, beg kertas, dan mangkuk. Modul pembelajaran khas turut dicipta mahasiswa UiTMCPP ini. Mahasiswa UiTMCPP telah berjaya memindahkan ilmu kepada para pelajar tentang pentingnya mengurangkan pelepasan karbon dan memanfaatkan bahan kitar semula.
Menurut Ir. Ts. Mohamed Syazwan Osman, penasihat program, “Program ini bertujuan menyemai sifat ingin tahu dan kesedaran terhadap isu alam sekitar dalam kalangan generasi muda. Permintaan kertas di seluruh dunia dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2030. Program seperti ini penting untuk mendidik generasi muda supaya lebih peka dan bertindak dalam menjaga alam sekitar.”
Program ini juga mempererat hubungan antara UiTM Cawangan Pulau Pinang dengan masyarakat setempat, khususnya pihak sekolah. Ia turut melibatkan penyertaan agensi kerajaan melalui sumbangan dan kerjasama daripada rakan strategik seperti KEMAS dan Pusat Khidmat YB Dato’ Seri Reezal Merican. Pendekatan SULAM yang digunakan dalam program ini merujuk kepada konsep yang terkandung dalam buku SULAM Playbook, yang menekankan komitmen universiti untuk mengaplikasikan ilmu secara praktikal demi manfaat masyarakat melalui aktiviti pendidikan yang berimpak tinggi.
Dengan kejayaan program ini, diharapkan lebih banyak inisiatif seperti ini dapat dianjurkan pada masa hadapan bagi terus menyemai semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan generasi muda. Program REPAPER diakhiri dengan sesi bergambar dan penutupan pada jam 1.00 petang, meninggalkan kenangan manis dan ilmu bermanfaat kepada semua peserta.