19 Jun 2024 – Program ‘Pump de Jamz’ anjuran Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang telah mendapat sambutan menggalakkan apabila berjaya menarik penyertaan lebih 300 golongan mahasisiwi dan staf UCPh.
Program yang diadakan di Dewan Indera Segara baru-baru ini telah direncana dan dilaksanakan oleh tiga puluh lapan pelajar semester ketiga Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi bagi tujuan mempromosikan kesihatan kardiovaskular dan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar dan staf UCPh. Program ini juga berfungsi sebagai platform pendidikan, membolehkan pelajar menerapkan pengetahuan teori mereka dalam situasi praktikal. Melalui pengendalian acara ini, pelajar memperoleh kemahiran dalam perancangan dan pengurusan program, serta memahami lebih mendalam mengenai peluang kerjaya dalam bidang senaman aerobik.
Program yang berlangsung selama tiga jam ini merangkumi sesi senaman aerobik yang dirancang khusus untuk meningkatkan kesihatan jantung, kekuatan otot, dan ketahanan fizikal peserta. Inisiatif seperti ‘Pump de Jamz’ ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran tentang kepentingan senaman dalam kehidupan seharian sejajar dengan pelaksanaan matlamat di bawah Sustainable Development Goals (SDG) iaitu SDG 3- Good Health and Well Being yang menekankan kepentingan kesihatan fizikal dan mental.
Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Cawangan Pahang berhasrat untuk meneruskan dan memperluaskan lagi program-program bercorakkan kesihatan fizikal dan mental pada masa akan datang. Inisiatif ini dijangka akan terus memberi manfaat kepada komuniti universiti dan menyokong objektif untuk menggalakkan gaya hidup sihat serta mempersiapkan pelajar untuk kerjaya dalam bidang sains sukan.
Dengan penyertaan yang terbuka kepada seluruh warga UCPh, ‘Pump de Jamz’ menawarkan pengalaman yang bermanfaat dan menyeronokkan di samping memupuk amalan gaya hidup aktif.
Penulis: Rozella binti Ab Razak, Mohd Azharul Bin Azemi, Nur Atikah binti Mohamed Kassim, Fatin Razak, Kalam Azad bin Isa