10 Jun 2024– Program Promosi Kesihatan Sepanjang Hayat Warga Emas telah dianjurkan oleh pelajar Sarjana Muda Kejururawatan (Separuh Masa), Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Kampus Puncak Alam Selangor dengan sokongan dari pihak Institute of Continuing Education and Profesional Studies (iCEPS) dan kerjasama dari AJK Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Telok Menegun.
Program promosi kesihatan ini bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan kesihatan fizikal dan mental melalui senaman, aktiviti rekreasi, dan latihan ringan. Selain itu, warga emas juga diberikan pendedahan dan pengetahuan bagi mengelakkan kecederaan di rumah dan pencegahan penyakit kencing manis melalui penyampaian daripada penceramah-penceramah yang telah ditugaskan. Secara tidak langsung, ini dapat mengeratkan hubungan antara pelajar dan kalangan warga emas yang tinggal di komuniti.
Program ini melibatkan seramai 28 orang pelajar daripada Ijazah Sarjana Kejururawatan Semester 2 (Separuh Masa), Pusat Pengajian Kejururawatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Selangor. Turut serta adalah 2 orang pensyarah pengiring iaitu Prof. Madya Dr. Zamzaliza Abdul Mulud dan Puan Roswati Nordin, serta 3 orang pensyarah jemputan, Dr. Wan Marina Wan Ismail, Puan Norfidah Hj. Mohamed dan Puan Norlaila binti Abu Samah. Pihak penganjur juga telah menjemput 3 orang penceramah untuk memeriahkan program ini, iaitu Puan Nur Shazwaniza binti Yahya (Pengajar Kejururawatan, ILKKM Sultan Azlan Shah), Puan Amira binti Hamran (Senior Executive of Outreach Unit, Cybersecurity Malaysia), dan Puan Norfarihan binti Md Tayet (Wakil Jururawat dari MONA).
Pelbagai aktiviti yang menarik telah dianjurkan untuk warga emas seperti senaman ringan (chair robic), ceramah kesihatan, cabutan bertuah, saringan kesihatan dan penyampaian sumbangan melalui lawatan ke rumah untuk warga emas yang terlantar. Program yang telah dilaksanakan ini berjaya menarik perhatian penduduk sekitar dengan kehadiran 58 orang peserta, melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 30-35 orang. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua yang terlibat atas masa yang diluangkan. Diharapkan program sebegini dapat merapatkan jalinan hubungan antara UiTM dan pihak masyarakat, terutama dari kalangan warga emas serta dapat menerapkan nilai-nilai kemasyarakatan kepada warga UiTM. Semoga melalui program ini juga dapat mengangkat nama dan imej UiTM sebagai sebuah universiti yang prihatin dan cakna terhadap warga emas.