Program Profesor Adjung: UiTM Jalin Kerjasama Dengan Pejabat Meteorologi Pahang

Kuantan, 18 Disember 2024 – Rombongan Pusat Kajian Alam Sekitar (PKA) UiTM diketuai Profesor Adjung Dr. Roslan Zainal Abidin telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Meteorologi Pahang bagi membincangkan potensi kerjasama dalam bidang meteorologi dan kesedaran awam.

Penolong Pengarah MetPahang, Puan Nazian Zainal Abidin telah memberi taklimat mengenai peranan penting jabatan tersebut dalam ramalan cuaca, pemantauan gempa bumi dan tsunami, serta perkhidmatan meteorologi penerbangan.

“MetMalaysia sentiasa komited dalam memberi amaran awal kepada masyarakat melalui pelbagai saluran media termasuk TV, radio dan media sosial,” jelas Puan Nazian semasa sesi taklimat.

Delegasi yang terdiri daripada empat pensyarah dan tiga pembantu jurutera makmal turut dibawa melawat tapak peralatan cerapan yang digunakan untuk mengukur arah angin, kelembapan dan penyejatan air.

MetMalaysia turut mencadangkan kerjasama dengan PKA UiTM untuk menganjurkan program kesedaran awam mengenai fungsi dan kepentingan ramalan cuaca, cuaca laut dan pemantauan gempa bumi.

Lawatan yang diadakan pada 29 Oktober 2024 ini membuka peluang kerjasama strategik antara kedua-dua institusi dalam perkongsian data dan kepakaran meteorologi.

NAMA PENULIS: NUR’AIN MAT YUSOF, ASMIDAR ALIAS, JAMILAH ABD RAHIM