Program Profesor Adjung (Siri 2): Kursus Sehari Ramalan Tanah Runtuh di Malaysia

Bandar Tun Abdul Razak Jengka, 29 November 2024Pengajian Kejuruteraan Awam (PKA) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang telah menganjurkan latihan Program Lawatan Profesor Adjung Siri 2 bersama YBhg. Prof Adjung, Prof Roslan Zainal Abidin pada 28 Oktober 2024 di Bilik Latihan Staf. 

Majlis dimulakan pada jam 9.00 pagi dengan pembukaan dari YBrs. Ts. Dr. Rohaya Alias, Ketua Pusat Pengajian (KPP) Pengajian Kejuruteraan Awam dengan mengalu-alukan kedatangan Profesor Adjung dalam berkongsi ilmu, pengalaman serta gerak kerja penubuhan Pusat Penyelidikan dan Ramalan Bencana UiTM Pahang. 

Dalam program kali ini, YBhg. Profesor Dr. Roslan menyampaikan perkongsian akademik dalam bentuk latihan jurulatih (Training of Trainers – TOT) untuk program penjanaan universiti, Kursus Sehari Ramalan Tanah Runtuh di Malaysia. YBhg. Profesor Dr. Roslan membentangkan syarahan berdasarkan empat modul utama. 

Modul 1: Pengenalan Scenario Tanah Runtuh di Malaysia / Introduction to Landslide Scenarios/Issues in Malaysia

Modul 2: Penilaian Tanah Runtuh: Faktor Kebolehakisan Hujan dan Keboleh runtuhan Tanah / Evaluation of Landslide: Governing Factors: Rainfall Erosivity and Soil Erodibility

Modul 3:  Persampelan Tanah dan Analisa Makmal / Soil Sampling and Laboratory Analysis

Modul 4: Analisa Ayakan dan Ujian Taburan Saiz Zarah / Sieve Analysis and Particle Size Distribution Test

Program ini melibatkan peserta dari kalangan pensyarah dan penolong jurutera yang turut secara aktif mempelajari proses perolehan data hujan dan sampel tanah, analisa menggunakan indeks kebolehakisan hujan (ROSE) dan keboleh runtuhan tanah (ROM) untuk digunakan dalam mengenal pasti risiko tanah runtuh di Malaysia. Turut diperkenalkan dalam syarahan carta RS, kombinasi indeks ROSE dan ROM untuk mempertingkan lagi ketepatan dalam mengenalpasti risiko tanah runtuh.  YBhg. Profesor Dr. Roslan turut melatih secara langsung beberapa orang pensyarah untuk menyampaikan modul dengan berkesan terutama untuk modul 3.

Pada sebelah petang, peserta membuat latihan praktikal untuk Modul 4 di Makmal Tanah yang melibatkan kerja-kerja pensampelan tanah, analisa ayakan, ujian taburan saiz zarah dan ujian hidrometer. Pembantu jurutera turut dilatih untuk tatacara pengendalian alat yang betul untuk memastikan ketepatan dalam perolehan data.  

Program ini adalah inisiatif dalam menjayakan hasrat UiTM dalam menjayakan Matlamat Pembangunan Mampan / Sustainable Development Goals (SDG) terutama dalam pendidikan berkualiti (Quality Education) dan tindakan iklim (Climate Action). Topik yang menjadi perbincangan adalah sangat relevan dalam usaha penjagaan dan keselamatan awam yang melibatkan struktur geoteknik seperti cerun terutama di kawasan perumahan dan infrastruktur jalan raya / lebuhraya.

Penulis: Asmidar Alias, Noor Safwan Muhamad, Zulhafizal Osman