1 Ogos 2024 – Program Praktikum Perguruan Pra Perkhidmatan Universitas Negeri Malang, Indonesia anjuran Akademi Pengajian Bahasa dengan kerjasama UiTM Global, UiTM Cawangan Pahang telah diadakan pada 1 Julai 2024 sehingga 28 Julai 2024. Program ini adalah susulan MoU dan MoA UiTM Pahang Bersama Universitas Negeri Malang, Indonesia yang juga melibatkan program pemindahan ilmu dan program tanggungjawab sosial universiti. Ma’ahad Sultan Ahmad Shah, Jengka dan Sekolah Rendah Islam (Seri) Tahfiz Al-Banna (ITTAB), Jengka merupakan kolaborator kepada program ini yang melibatkan 44 pelatih guru. Antara objektif program ini adalah untuk mengadakan program praktikum untuk membina kredibiliti dan keyakinan kepada bakal pendidik Indonesia dan memberi pengalaman sebagai bakal guru serta mengenali sistem pendidikan di Malaysia. Selain itu, program ini dijalankan bagi memenuhi aktiviti MoU dan MoA serta menjalankan program USR bagi meningkatkan kemahiran sosial dan interaksi dalam kalangan pelajar dan juga bakal guru dengan penghayatan budaya Malaysia.
Para pelajar Universitas Negeri Malang, Indonesia telah mempraktikkan kemahiran mengajar mereka kepada murid-murid dengan menumpukan kepada beberapa mata pelajaran seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, IT yang mana mereka akan diselia oleh guru di sekolah terpilih dan dinilai oleh pensyarah berpengalaman dari UiTM. UiTM juga selaku tuan rumah telah menyediakan kolej kediaman bagi para pelajar Universitas Negeri Malang, Indonesia sebagai tempat penginapan sepanjang program tersebut berlangsung.
Pelaksanaan perpustakaan digital telah dijalankan dari 15 Julai hingga 19 Julai 2024. Untuk minggu pertama, 11 pelajar Sains Perpustakaan dari Universitas Negeri Malang mengambil alih sepenuhnya, bermula dari proses instalasi sehingga proses melampirkan kod bar dan identiti kepada buku. Dalam aktiviti ini, para pelajar memfokuskan kepada bagaimana aktiviti peredaran dijalankan secara digital. UiTM Pahang telah menyediakan beberapa jenis buku yang telah diklasifikasikan untuk dimasukkan ke dalam sistem. Pada minggu berikutnya, pada 22 Julai, pelajar Sains Perpustakaan mengadakan bengkel yang dihadiri oleh 5 orang guru dan seorang pustakawan untuk menerangkan tentang sistem yang telah dibina. Dalam bengkel ini, berlaku penyampaian bahan yang berkaitan dengan pendigitalan sistematik perpustakaan yang telah dibina dan sesi praktikal yang bertujuan untuk memudahkan peserta memahami langkah demi langkah pendigitalan perpustakaan. Selepas bengkel tersebut, beberapa orang pelajar Maahad SAS telah diajar menggunakan sistem supaya mereka dapat membantu pustakawan di sana.
Pada 15 Julai 2024, para pelajar praktikal Universitas Negeri Malang telah menjalankan sesi soal jawab random bersama pelajar-pelajar ITTAB Taarif. Beberapa soalan random seperti ‘Berapa jumlah bendera yang terletak di pagar sekolah?’, ‘Berapa jumlah selipar yang ada di surau sekolah?’ dan ‘Berapa jumlah kelas yang ada di sekolah itu?’ telah diajukan kepada pelajar. Aktiviti ini menunjukkan tahap keprihatinan pelajar terhadap sekolah mereka. Video aktiviti ini telah dikongsi di akaun TikTok rasmi sekolah tersebut, ITTAB official.
Pada 20 Julai 2024, satu bengkel Pembinaan Games Interaktif: Bermain dan Belajar telah diadakan bertempat di Dewan Kuliah Al-Farabi UiTM Jengka. Bengkel tersebut bertujuan untuk memberi pemahaman ringkas mengenai penggunaan Buildbox secara praktikal dalam pembelajaran yang mana dapat mewujudkan pendidikan berkualiti dengan memanfaatkan penggunaan teknologi dalam pembelajaran. Pelajar Universitas Negeri Malang telah didedahkan dengan aplikasi Buildbox secara permainan untuk meningkatkan kreativiti mahasiswa.
Pada 13 Julai 2024, seramai 44 orang pelajar Universitas Negeri Malang telah mengikuti kegiatan eksplorasi di Kem Sri Gading, UiTM Pahang. Program tersebut yang bertemakan “Love the Trees & Save the Forest 2024” telah dilaksanakan atas kerjasama Universitas Negeri Malang dengan UiTM Pahang dan atas kerjasama antara Akademi Pengajian Bahasa dan Pusat Pengajian Industri Perkayuan, UiTM Pahang. Dalam program ini, pelajar telah dibahagikan kepada 9 kumpulan untuk menyelusuri hutan, mengamati dan diperkenalkan kepada mereka beberapa jenis flora yang ada di Kem Sri Gading.
Program ini sangat memberi manfaat kepada semua pelajar Universitas Negeri Malang terutamanya dalam pengajaran dan pembelajaran di samping membina keyakinan diri para pelajar dalam membina kerjaya sebagai guru yang berketerampilan di masa akan datang.