Program Kesihatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) Kampus Bertam bersama Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah menganjurkan Program Plogging and Picturing in Penang (3P) bersempena International Community Service Collaboration (ICSC) bersama Fakultas Kesehatan Masyarakat, Universitas Airlangga (UNAIR), Surabaya Indonesia yang berlangsung dari 6 Mei 2024 hingga 10 Mei 2024.
Program 3P ini telah dijalankan pada 8 Mei 2024 di sekitar Tapak Warisan Dunia Georgetown, Pulau Pinang yang melibatkan seramai 140 orang peserta dengan kehadiran 37 orang delegasi UNAIR yang terdiri daripada sembilan (9) tenaga akademik bersama 28 orang pelajar, 87 orang pelajar Diploma Kesihatan Persekitaran diiringi 16 orang tenaga akademik dan kakitangan UiTMCPP Kampus Bertam.
Objektif program 3P ini adalah untuk memberi kesedaran berkenaan kepentingan penjagaan alam sekitar terhadap kesejahteraan sosio-ekonomi komuniti setempat serta menghargai kelebihan dan keunikan Pulau Pinang dari aspek geografi serta kelebihan ekonomi dari aspek pelancongan yang berkait rapat dengan alam sekitar.
Terdapat dua (2) bahagian utama untuk program 3P ini iaitu aktiviti plogging yang bertempat di Padang Kota Lama, Georgetown serta aktiviti picturing yang melibatkan lawatan ke dua (2) lokasi pelancongan menarik iaitu sekitar Tapak Warisan Dunia Georgetown dan Bukit Bendera, Pulau Pinang. Para peserta turut berpeluang merasakan keunikan menggunakan perkhidmatan furnikular Bukit Bendera dan perkhidmatan feri Pulau Pinang dari Terminal Feri Raja Tun Uda, Georgetown ke Terminal Feri Sultan Abdul Halim di Butterworth. Program ini turut melibatkan kerjasama daripada Perbadanan Bukit Bendera serta Penang Port Sdn. Bhd.