5 Januari 2021, Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS), UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah melancarkan program “Phytas Studio 2020”. Umum mengetahui bahawa pada bulan Oktober 2020, negara kita sekali lagi telah di kejutkan dengan peningkatan kes-kes COVID-19 seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ekoran daripada pandemik ini, Kementerian Pelajaran Tinggi Malaysia (KPT) telah membatalkan kuputusan untuk membenarkan pelajar-pelajar universiti kembali ke kampus dan meminta sesi pembelajaran dilakukan secara atas talian. Namun begitu, pembelajaran atas talian tidak menjadi batas yang menghalang pelajar-pelajar ini untuk bergiat aktif dalam aktiviti persatuan.
Untuk memastikan pelajar tetap bergiat aktif mestipun ketika tempoh pembelajaran atas talian, program Phytas Studio 2020 telah dilancarkan dengan tujuan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran pengucapan dalam kalangan para peserta. Selain itu, program ini juga dapat membantu membuka minda para penonton tentang kerjaya sebenar seorang fisioterapi, mendedahkan penonton tentang beberapa kaedah perubatan yang sering digunakan oleh fisioterapi ketika melakukan rawatan dan jenis-jenis diagnosis yang boleh dirawat oleh ahli fisioterapi. Secara tidak langsung, program Phytas Studio 2020 dapat membantu meningkatkan nama PHYTAS beserta nama UiTM pada khalayak ramai.
Program ini merupakan program yang diadakan di platform Instagram dan Youtube PHYTAS dan dilakukan secara berperingkat iaitu pada 5, 12 dan 19 Januari 2021. Untuk memastikan kelancaran program, semua biro dan ahli jawatankuasa program telah membuat hebahan berkenaan dengan program ini dengan menggunakan platform media sosial masing-masing. Kerjasama yang diberikan oleh semua biro dan ahli jawatankuasa adalah sangat memberangsangkan.
Antara tajuk yang telah dikongsikan oleh para peserta adalah “What Is Physiotherapy”, “Misconception Physiotherapy VS Masseurs”, “Hot Vs Cold Therapy”. “Bell’ Palsy”, “What Is BPPV”, “Physiotherapy Vs Chiropractic” dan “Job Scope of Physiotherapy”. Semua video yang dimuatnaik telah meraih sambutan yang sangat menggalakkan dan mendapat tempat dihati para penonton dimana kebanyakan video telah berjaya mencecah sebanyak seribu jumlah tontonan. Bukan itu sahaja, terdapat juga video yang mencapai sebanyak 3 ribu jumlah tontonan. Bagi satu program yang baru pertama kali dianjurkan, pencapaian ini adalah amat membanggakan.
Akhir kata, PHYTAS dan semua ahli jawatankuasa program Phytas Studio 2020 berharap agar program sebegini dapat diadakan lagi pada masa yang akan datang dan akan mendapat sambutan yang lebih memberangsangkan daripada orang ramai.