Rabu – 5 Jun 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Tapah, di bawah Fakulti Sains Gunaan telah mengadakan program Physics Outreach 4.0 Siri-2 yang bertemakan Analog dan Elektronik serta aplikasi dan kerjaya dalam bidang elektrik dan elektronik. Seramai lebih kurang 280 orang pelajar aliran Fizik dari program Diploma Sains terutamanya bahagian 4 telah menghadiri seminar tersebut. Objektif program Physics Outreach 4.0 adalah untuk menarik minat pelajar dalam mempelajari subjek Fizik khususnya dalam subjek Elektronik yang menfokuskan cabaran dan aplikasi elektronik dalam industri dan kerjaya. Penglibatan penceramah dari UiTM Cawangan Johor dan juga alumni UiTM bertujuan melaksanakan pengajaran kolaboratif antara UiTM dan alumni bagi mendedahkan pelajar kepada penyelidikan terkini dan maklumat mengenai kerjaya dalam bidang fizik. Selain memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan pakar bidang yang berpengalaman, program ini juga diharapkan dapat membangkitkan motivasi dan rangsangan pelajar dalam belajar melalui perkongsian pengalaman alumni UiTM yang telah berjaya dalam kerjaya berkaitan dengan bidang Fizik.
Penceramah jemputan dari UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang, Ts. Zahari Abu Bakar merupakan pensyarah kanan dan pakar dalam bidang elektrik dan elektronik. Beliau juga aktif dalam penyelidikan serta aktif dalam kolaboratif antara industri tempatan yang berkaitan dengan bidang elektronik. Beliau memberi pendedahan tentang cabaran dalam menanam minat pelajar untuk belajar sains khusunya dalam subjek Fizik dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah serta cabaran dalam melahirkan pakar dalam bidang elektrik dan elektronik dalam kalangan pelajar universiti disebabkan oleh pengambilan pelajar yang semakin tenat dalam bidang sains dan kejuruteraan. Selain itu, beliau telah memberi pendedahan kepada pelajar tentang dunia elektronik (digital) dan kepentingan elektronik dalam aplikasi harian manusia yang mana ia merupakan kepentingan utama umat manusia dalam teknologi dunia hari ini, contohnya penggunaan telefon dan jam tangan pintar. Kolaborasi antara sains dan teknologi menyumbang kepada kemajuan dunia hari ini. Seterusnya, inti pati kandungan ceramah seperti penjelasan tentang kepentingan subjek elektronik dalam industri dan keperluan pakar dalam bidang tersebut juga diketengahkan untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang kepentingan ilmu yang dipelajari dalam bidang tersebut.
Program ini telah berjaya menarik minat dan membuka minda pelajar dalam bidang Fizik serta memberi gambaran kepada pelajar Diploma Sains aliran Fizik tentang kepentingan subjek Elektronik terutamanya pada masa hadapan (kerjaya). Pelajar juga lebih memahami keperluan dalam mempelajari dan mendalami subjek Fizik yang mana sangat penting dalam aplikasi dunia teknologi hari ini. Akhir kata, program ini telah memberi banyak pendedahan tentang kepentingan dalam mencari ilmu yang menyumbang kepada kemodenan umat manusia, bak kata pepatah Melayu, bagai air mencari jenisnya, sejajar dengan matlamat negara dalam melahirkan masyarakat berilmu di negara ini. Diharapkan perkongsian ilmu dan pendedahan seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa hadapan.
Nama Penulis: Siti Sumaiyah binti Sheikh Abdul Aziz, Nurul Aimi Zakaria dan Dr Nurul Ilham Adam