11 – 15 oktober 2023 – Seramai 27 mahasiswa Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP), UiTM Cawangan Selangor (UCS) mengikuti lawatan akademik ke Korea Selatan yang merupakan salah satu aktiviti tersenarai dalam MOU dalam usaha universiti mencapai taraf global GRU2025. Barisan mahasiswa FPHP diketuai oleh Dr Khairun Najiah Ahmad selaku pegawai pengiring telah disambut baik pihak Dongguk Gyeongju University, Korea yang merupakan rakan kolaborasi UiTM.
Antara objektif utama lawatan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa terhadap kehidupan dan budaya etnik serta persekitaran masyarakat di Korea Selatan dalam usaha melahirkan mahasiswa berfikiran global.
Lawatan ini turut melibatkan mahasiswa dalam aktiviti pemindahan ilmu dan khidmat masyarakat dengan cara berkongsi ilmu pengetahuan dengan pelajar tentang budaya, makanan dan pakaian kebangsaan masyarakat Malaysia. Menerusi aktiviti pemindahan ilmu yang dijalankan, mahasiswa dilatih berfikir secara kreatif dan berinovatif dalam aspek menjayakan program berkumpulan bersama rakan antarabangsa mereka.
Selain itu, mahasiswa turut terlibat dengan aktiviti pembersihan dan aktiviti persembahan di sekitar kawasan Seoul dan Daegu bersama NGO yang terlibat dalam usaha menjayakan pelaksanaan Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM). Justeru, komitmen, kesedaran dan kerjasama mahasiswa dalam bidang pelancongan menerusi tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan keatas mereka dapat ditingkatkan. Jalinan hubungan bersama institusi, agensi dan NGO antarabangsa turut dapat diperkukuhkan diantara kedua buah negara.
Diantara tempat bersejarah yang telah dilawati oleh mahasiswa dari kedua-dua universiti ini adalah kunjungan ke Woljeong Bridge, Gyeongbukgong Palace dan menghadiri Silla Cultural Festival. Disamping memenuhi keperluan kursus subjek Sustainable Tourism Management, mahasiswa berpeluang melihat sendiri dan menghayati pelbagai peninggalan sejarah di sekitar bandar Gyeongju yang berstatus UNESCO World Heritage Site. Sebelum ini kedua-dua pihak, UiTM dan Dongguk Gyeongju University telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 2022 yang lalu.