Tai Yuan, China, 23 September 2024 – Satu siri syarahan bertemakan seni cetak, arca dan bengkel seni cetak telah berlangsung di North University of China (NUC). NUC yang merupakan sebuah universiti awam wilayah Jinacaoping, Taiyuan, Shanxi China ini merupakan universiti di bawah Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat dan SASTIND di China. Syarahan yang telah berlangsung pada 23 september ini melibatkan tiga orang pensyarah dari Program Seni Halus, Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Perak, Cawangan Seri Iskandar, mereka adalah Prof. Madya Dr. Azian Tahir (bidang kepakaran seni cetak), Dr. Syed Alwi Syed Abu Bakar (bidang kepakaran seni arca) dan Dr. Mohd Fawazie Arshad (bidang kepakaran seni cetak). Syarahan yang telah disampaikan untuk siri kali ini adalah syarahan yang bertajuk “Printmaking: Technique and Discipline”, “Lost Wax Casting: Material, Process and Sample of Artwork by UiTM Student” dan bengkel “Linography Reduction Technique”. Siri kali ini telah dihadiri hampir 50 orang pelajar dari program seni di peringkat pasca sarjana universiti tersebut. Sesi syarahan dan bengkel yang berlangsung selama dua jam ini merupakan siri syarahan atas jemputan dari pihak NUC bagi sesi perkongsian ilmu, kepakaran dan budaya bersama para pensyarah dan pelajar di universiti tersebut. Sesi ini juga dapat memberi peluang dalam perkongsian ilmu dari dua disiplin seni halus yang telah menjadi teras dalam pengajian seni di kedua-dua buah universiti agar lebih berdaya saing.
Selain dari sesi perkongsian ilmu ini turut membincangkan akan cadangan untuk kolaborasi dimasa akan datang dalam program-program yang boleh melibatkan kedua-dua belah universiti berkaitan bidang seni dan bidang pendidikan perbincangan diadakan bersama En. Wu Wenchao, Dekan, School of Art, NUC, dan turut sama bertemu dengan Profesor Guo Yunxia, Party Secretary of School of Art, NUC. Ia diharap mampu meningkatkan lagi perkembangan insan dan minda secara holistik kepada para pensyarah dan pelajar. Turut diharapkan juga melalui kerjasama ini dapat memberi satu usaha kesepakatan antarabangsa yang boleh dirangka dan dicadang bagi tujuan meraikan proses pembelajaran dalam bidang kesenian antara dua negara. Namun begitu universiti ini juga turut mempunyai kepakaran bidang lain seperti kejuruteraan, sains, seni liberal, ekonomi, pengurusan, undang-undang dan pendidikan. Diharap bidang-bidang lain juga boleh mengambil peluang untuk bekerja sama dalam berbagai program berkaitan di masa akan datang.
Kesimpulannya, sesi syarahan dan bengkel ini telah memberi impak besar dalam mendorong perkongsian ilmu dan idea yang mampu mengukuhkan lagi kerjasama antara dua negara. Malahan UiTM kini yang kini mempunyai ramai pelajar pasca siswazah antarabangsa dan sudah tentulah sebahagiannya dari negara China, sekurang-kurangnya melalui perkongsian ini dapatlah lagi menarik perhatian dan minat para pelajar disana untuk mencari peluang melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi di sini terutama sekali bidang seni visual.
Disediakan Oleh: PM Dr. Azian Tahir, Dr. Syed Alwi Syed Abu Bakar dan Dr. Mohd Fawazie Arshad, Xing Furong.